Covid-19: ‘Kartel Hitam’ punca bekalan roti, telur ikan, serbuk kari habis? - pakdin.my

  • Fenomena kehabisan stok bukan sesuatu yang luar biasa disebabkan penularan wabak Covid-19
  • Wujudnya kumpulan ‘kartel hitam’ yang menyebabkan stok makanan tertentu tiada dalam pasaran untuk seketika
  • ‘Kartel hitam’ sengaja buat sekatan bagi produk-produk ini sukar di dapati dalam pasaran

Tiada siapa perasan seperti sudah menjadi trend bekalan makanan tertentu seolah-olah tiada di pasaran pada masa-masa tertentu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Antara yang paling ketara sehingga menimbulkan kebimbangan pengguna termasuk roti, ikan, telur, serbuk kari yang mencetus ‘pembelian panik’.

Presiden Persatuan Pengguna Subang Jaya dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George mendakwa fenomena kehabisan stok bukan sesuatu yang luar biasa disebabkan penularan wabak Covid-19.

Sebaliknya kata beliau, wujudnya kumpulan ‘kartel hitam’ yang menyebabkan stok makanan tertentu tiada dalam pasaran untuk seketika.

Kata beliau, kumpulan ini memainkan peranan dalam kenaikan harga barangan asas tertentu dengan mengambil kesempatan dalam keadaan terdesak ketika ini.

“Kita dapati satu trend satu minggu kita tidak cukup stok telur, kemudian minggu satu lagi tidak ada roti pula, kemudian ikan, serbuk kari dan bermacam-macam lagi sehingga menyebabkan umum khasnya pengguna resah sepanjang masa.

“Walaupun alasan yang kita kerap kali dengar adalah masalah besar dengan pengedaran, tetapi kita juga mendapat (maklumat) tentang ‘kartel hitam’ ini yang sengaja buat sekatan bagi produk-produk ini sukar di dapati dalam pasaran.

“Golongan ini sengaja tidak mahu hantar barangan dan membuat sesuatu yang boleh melambatkan bekalan-bekalan asas yang kita hendak. Ketika ini, kita sudah ada undang-undang yang menjaga hak pengguna, lebih-lebih lagi ketika sedang hadapi krisis.

“Soalan utama yang kita hendak tanya, adakah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta agensi kerajaan lain telah mengerahkan pegawai-pegawainya turun padang pantau semua isu ini dan ketahui keadaan sebenarnya?

“Atau adakah mereka hanya mahu tunggu aduan seperti dari CASSA? Kemudian pula menyusahkan kita dengan bertanya macam-macam kepada kita seolah-olah kita adalah masalahnya kerana membuat aduan.

“Sebaliknya saya nasihatkan perbanyakkan task force bagi pantau isu ini dan tidak sesekali membenarkan golongan berkepentingan ini mengambil kesempatan terhadap kesusahan rakyat pada masa ini, tolonglah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kata Jacob, beliau mengalu-alukan kenyataan Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan peniaga yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

Jelas beliau, pihaknya menyokong penuh tindakan tersebut dan mahu lebih banyak tindakan serta pemantauan dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan pengguna tidak terjejas.

“Jika ada keperluan, panggillah semua pemain industri yang cukup berpengalaman duduk semeja berbincang dan mencari jalan penyelesaian dengan baik sekali.

“Saya sendiri sudah lebih 43 tahun menjadi tokoh pengguna, ramai lagi di luar sana. Gunakan semua pengalaman ini untuk kepentingan rakyat, lebih-lebih lagi ketika kita sedang berdepan dengan satu situasi yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Ingatlah, kata-kata serta slogan mengutamakan rakyat tidak sepatunya hanya sekadar indah khabar dari rupa, bantulah mereka kerana kami saban hari mendengar rintihan mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette

UTAMABERITACovid-19: ‘Kartel Hitam’ punca bekalan roti, telur ikan, serbuk kari habis?

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium