Covid-19 kini merebak dengan cepat – WHO

GENEVA – Wabak koronavirus baru atau Covid-19 kini merebak dengan lebih cepat di luar China, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sehubungan itu, semua negara yang terjejas akibat wabak itu diminta meningkatkan pemeriksaan di lapangan terbang.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, hampir lapan kali ganda kes telah dilaporkan di luar China dalam tempoh 24 jam dan risiko penularannya semakin tinggi pada peringkat global.

Pada taklimat di sini, beliau berkata, penularan wabak itu di Korea Selatan, Itali, Iran dan Jepun paling membimbangkan.

Bagaimanapun, pemantauan rapi sedang dijalankan di Korea Selatan, negara di luar China yang paling terjejas teruk dan wabak itu akan dapat dibendung di sana.

Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence berkata, dalam tempoh 12 jam, lapangan-lapangan terbang di Korea Selatan dan Itali akan memeriksa semua penumpang, seperti mana yang dilakukan di AS.

Malah, AS akan meluaskan pemeriksaan kesihatan kepada para pengembara.

Pentadbiran Perubatan dan Makanan AS berkata, pakar-pakar industri memiliki kapasiti untuk melakukan 1 juta pemeriksaan koronavirus menjelang akhir minggu ini.

Jumlah kematian akibat wabak itu melepasi 3,000 dengan angka kematian di Itali melonjak kepada 52.

Arab Saudi, Senegal dan Morocco pula merekodkan kes pertama – menjadikan jumlah negara yang dijangkiti wabak itu kepada 60 buah.

Manakala angka kematian di Korea Selatan pula 26 orang dan 599 kes jangkitan baru semalam menjadikan jumlahnya kepada 4,335.