Covid-19: Kuarantin wajib di stesen yang ditetapkan kerajaan mulai Jumaat - pakdin.my

Semua warga asing atau rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara dimestikan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen yang ditetapkan oleh kerajaan mulai Jumaat ini.

Dengan ketetapan itu tiada lagi kuarantin sendiri di rumah seperti yang dibenarkan sebelum ini kerana ramai yang tidak mematuhinya.

Menteri Kanan (Kluster keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil apabila terdapat individu melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan kuarantin wajib di rumah.

Katanya, kos kuarantin di stesen kuarantin sama ada di Institut Latihan Awam atau hotel akan ditanggung sepenuhnya oleh mereka yang terbabit berdasarkan kos yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Agensi pengurusan Bencanan Negara (Nadma) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengenal pasti serta mewartakan ILA atau hotel yang bersesuaian sebagai stesen kuarantin,” katanya dalam sidang media harian hari ini.

Berikutan keputusan terbaharu ini, katanya, warga asing atau rakyat Malaysia yang mahu pulang tidak lagi diwajibkan menjalani ujian swab Covid-19 di negara asal dalam tempoh tiga hari sebelum tarikh penerbangan.

Semalam dilaporkan seorang wanita yang memakai gelang tangan merah jambu kuarantin wajib dilihat tanpa rasa bersalah telah dilihat menikmati minuman sebuah restoran di Meru Jaya, Ipoh.

Pihak berkuasa kini sedang mengesan wanita tersebut yang dipercayai melanggar tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah selepas fotonya tular di media sosial.

Wanita tersebut yang memakai gelang tangan (wristband) berwarna merah jambu di tangan, dilihat makan di sebuah kafe di Bandar Meru Jaya di Ipoh.

Kerajaan kata Ismail Sabri, memandang serius insiden ketidakpatuhan SOP kuarantin di rumah itu kerana ia boleh menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling.

“Tindakan mereka ini amat tidak bertanggungjawab dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun RM1,000 ataupun mendakwa di mahkamah dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan,” katanya. – UTUSAN

UTAMABERITACovid-19: Kuarantin wajib di stesen yang ditetapkan kerajaan mulai Jumaat

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium