Covid-19: Tolonglah, ini bukan masa sesuai untuk scaling gigi

Dalam keadaan negara berhadapan dengan usaha membendung penularan Covid-19 ramai pula yang keluar untuk membuat rawatan gigi. - foto hiasan

Seorang doktor gigi melahirkan rasa kecewanya apabila melihat jumlah orang yang melakukan tempahan untuk scaling gigi meningkat.

Doktor gigi wanita dengan akaun Facebook Koh Yun Shan itu berkata,  orang ramai harus duduk diam-diam di rumah untuk mencegah penularan COVID-19 melainkan mereka betul-betul sakit gigi sehingga tidak boleh tahan.

Katanya, kunjungan pelanggan yang ramai mendedahkan pengamal dan kakitangan perubatan kepada risiko jangkitan.

“Sebagai doktor gigi, kami bersedia memberi perkhidmatan dan rawatan pada tempoh kritikal ini supaya orang ramai dapat makan dan minum di rumah tanpa dibebani kesakitan.

“Kami bagaimanapun berharap orang ramai dapat memahami risiko yang kami alami. Masa kami juga terhad, jadi berilah peluang kepada mereka yang betul-betul memerlukan rawatan.

“Buat masa ini, tolong jangan membuat tempahan untuk membuat scaling dan tampalan gigi yang tidak membabitkan keadaan mencemaskan,” katanya seperti dipetik China Press.

Yun Shan berkata, pada Rabu lalu, seorang ibu telah membawa tiga anaknya untuk melakukan pemeriksaan gigi percuma dan scaling gigi di klinik.

“Ini menunjukkan orang ramai tidak faham apa tujuan perintah kawalan pergerakan.

” Saya marah bukan kerana ibu ini menganggap dua minggu ini sebagai cuti khas, tetapi kerana ibu ini telah mengabaikan keselamatan diri dan anak.

“Saya kecewa bukan kerana dia tidak duduk diam di rumah, tetapi kerana dia tidak mengambil kisah tentang situasi saya sebagai doktor gigi,” katanya yang bertugas di Johor Bahru.

Sementara itu di Ipoh, seorang lagi doktor wanita dari Hospital Raja Permaisuri Bainun juga meminta orang duduk diam-diam di rumah.

Beliau juga meminta orang ramai memahami kerja doktor yang membebankan ketika memberi rawatan kepada pesakit COVID-19.

Menurutnya, untuk menghampiri pesakit, doktor perlu menghabiskan masa sejam untuk mengenakan pakaian perlindungan yang lengkap dan mereka hanya boleh menghampiri pesakit selama dua jam sebelum baju itu ‘luput’.

Sementara itu, Profesor Madya Dr. Chua Kien Hui dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, perintah kawalan gerakan dijalankan kerajaan kerana kes jangkitan COVID-19 sudah mencapai tahap luar kawalan.

Jelasnya, kajian di United Kingdom mendapati kes jangkitan boleh meliputi 70 hingga 80 peratus populasi jika hubungan sosial manusia tidak dikawal atau mereka mengingkari kawalan yang ditetapkan.