COVID 19: Utamakan Keselamatan, Ambil Berat Kesihatan Agar Tidak Bertukar Duka – Ahmad Zahid - pakdin.my

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pasti ramai gembira dengan pengumuman daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan membenarkan aktiviti rentas negeri selepas negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, sebagaimana kerajaan menjangkakan kurang sebulan dari sekarang akan dapat dibenarkan rentas negeri kerana ramai yang terlalu rindukan kampung halaman, mahu bertemu sanak saudara dan melancong.

Namun katanya, bukan mahu ‘spoiler’ kegembiraan semua cuma mahu memperingatkan dalam keseronokan kembali merentas negeri teruskan berhati-hati menjaga diri terhadap risiko jangkitan COVID-19.

“Kita sama sekali tidak mahukan situasi suka boleh merentas negeri akhirnya bertukar duka kerana saya amat mengambil berat keselamatan dan kesihatan anda semua dan mesti prihatin terhadap fakta bahawa virus COVID-19 masih aktif di Malaysia dengan varian baharu yang lebih mudah menjangkiti. Virus ini berada di mana-mana dan mungkin di persekitaran kita.

“Bagi mereka yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 ianya masih berisiko dijangkiti walaupun tiada gejala atau hanya mengalami gejala kategori satu dan dua.

“Ini bermaksud individu positif COVID-19 mungkin tidak menyedari telah dijangkiti dan berpotensi menjangkiti individu lain ketika melakukan aktiviti rentas negeri sekali gus mengundang penularan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menjelaskan sebagai contoh seramai 10 daripada 8,507 pengembara yang disaring sebelum dibenarkan masuk ke Langkawi setakat 17 September lalu didapati positif COVID-19 dengan lima lagi merupakan kontak rapat.

Katanya, mujur dapat dikenal pasti kerana yang mahu ke Langkawi perlu menjalani ujian COVID-19 memandangkan ia merupakan projek rintis gelembung pelancongan domestik.

“Bagaimanapun tiada kewajipan bagi mereka yang akan pulang ke kampung mesti menjalani ujian COVID-19 selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan.

“Dalam kalangan kita ramai yang belum divaksin terutama golongan remaja dan kanak-kanak, maka mereka yang belum mempunyai perlindungan imunisasi itu sangat berisiko jika dijangkiti.

“Justeru pada pandangan saya mereka yang mengalami sebarang gejala atau berasa kurang sihat wajar melakukan ujian kendiri sebelum berhasrat merentas negeri sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya lagi.

Tambah Ahmad Zahid, ujian kendiri dapat dilakukan oleh mereka yang tiada gejala dan ini dapat mengelak penularan COVID-19 dengan diri sebagai punca yang pasti tiada siapa mahu melihat ahli keluarga atau orang tersayang jatuh sakit.

“Teruskan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan sebagainya walau di mana kita berada.

“Majikan perlu memastikan (SOP) yang ketat walaupun syarat ditetapkan semua pekerja mereka telah lengkap divaksin dan begitu juga tentang kebenaran kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang kembali dibenarkan beroperasi pada kapasiti 100% peratus.

“Pekerja yang tidak sedar telah dijangkiti boleh menjangkiti ramai rakan sekerja terutama dalam persekitaran kerja tertutup kerana jangkitan bersifat ‘airbone’, ujarnya lagi.

Jelas beliau, dalam persekitaran kerja yang sukar mengamalkan penjarakan fizikal dan selain keselamatan pekerja, keselamatan anggota keluarga mereka perlu juga dititikberatkan.

“Pekerja yang tidak sedar telah dijangkiti di tempat kerja boleh menularkan jangkitan kepada ahli keluarga apabila pulang ke rumah termasuk terhadap anak-anak yang belum divaksin.

“Kesimpulannya dalam kegirangan merentas negeri perlu sentiasa berwaspada dengan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya ‘Prevention is better than cure’.

“Semoga kita semua sentiasa dalam perlindungan Allah SWT, kita jaga kita, Allah jaga kita… Insya-Allah,” ujarnya.

UTAMABERITAAMCOVID 19: Utamakan Keselamatan, Ambil Berat Kesihatan Agar Tidak Bertukar Duka –...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium