Cubaan Berterusan Pihak Pembelaan Sangkal Penemuan Ahli Kimia - pakdin.my

Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini, menyaksikan untuk hari kedua berturut-turut percubaan pihak pembelaan untuk menyangkal penemuan ahli kimia Dr Seah Lay Hong yang mengesahkan kehadiran profil DNA yang diambil daripada dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pakar DNA Dr Brian McDonald hari ini disoal secara terperinci oleh peguam bela Anwar, Ram Karpal Singh berhubung penemuan Dr Seah.

Prosiding berkisar mengenai keputusan analisis terperinci graf elektropherogram berhubung tiga sampel swab yang diambil di bahagian bawah dan atas rektum (B7, B8 dan B9) pengadu di mana Dr Seah mengesahkan kehadiran profil DNA ‘Lelaki Y’.

Dr Mcdonald berkata berdasarkan graf itu sampel berkenaan berada dalam keadaan baik iaitu tiada tanda degradasi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan perbandingannya dengan keputusan sampel lain yang diambil pada hari yang sama (B5) di bahagian perianal jelas menunjukkan terdapat degradasi.

Beliau berkata senario itu, seperti dilaporkan oleh Dr Seah, adalah tidak mungkin selepas mengambil kira sejarah sampel berkenaan.

“Di dalam kes ini, 56 jam sebelum ahli kimia itu menjalankan analisisnya…degradasi seharusnya dapat dilihat di dalam graf,” katanya.

“Pada pandangan saya graf itu tidak selari dengan sejarah sampel disebabkan terutamanya Dr Seah gagal mematuhi semua prosedur yang diperlukan untuk membuat penemuan konklusif,” tambah beliau.

Anwar, 64, dituduh meliwat Mohd Saiful, 26, bekas pembantu peribadinya, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersambung pada 19 Sept.

UTAMABERITACubaan Berterusan Pihak Pembelaan Sangkal Penemuan Ahli Kimia

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium