Dakwaan dapat kerakyatan 4 jam tak benar – Mismah - pakdin.my

“Semua dakwaan itu tidak berasas kerana saya ada bukti untuk menyangkal dakwaan itu. Berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), permohonan saya diluluskan 31 Januari lalu selepas 29 tahun berada di negara ini dan berstatus penduduk tetap (PR) selama 12 tahun.”

KUALA LUMPUR: Seorang warga negara dikenali sebagai Mismah, 47, yang didakwa mendapatkan kewarganegaraan dalam tempoh empat jam melahirkan rasa kesal dengan pihak tidak bertanggungjawab yang menuduh beliau dibayar kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mendaftar sebagai pengundi.

Mismah yang juga ibu empat anak ketika ditemui, berkata beliau sedih dengan dakwaan mendapat taraf kerakyatan melalui ‘pintu belakang’ kerana ia menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap keluarganya.
MISMAH bersama Noh menunjukkan kad pengenalan dan sijil kewarganegaraan Malaysia pada sidang media di Sungai Buloh, semalam.
“Semua dakwaan itu tidak berasas kerana saya ada bukti untuk menyangkal dakwaan itu. Berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), permohonan saya diluluskan 31 Januari lalu selepas 29 tahun berada di negara ini dan berstatus penduduk tetap (PR) selama 12 tahun.

“Malah saya tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik termasuk BN,” katanya di Sungai Buloh, dekat sini, semalam.

Anaknya, Shuhaifah Mawasi, 28, pula berharap masyarakat tidak memandang negatif terhadap keluarganya.

“Ada yang kata ibu saya pengundi hantu dan tiada status tetap di blog dan laman web. Semua tohmahan ini melukakan hati kami sekeluarga. Kalau hendak diikutkan bapa saya dan nenek saya masih lagi berstatus penduduk tetap.
“Sekiranya BN hendak membeli undi, mengapa hanya ibu saya mendapat kewarganegaraan dan bukan ketiga-tiganya. Jangan menjadikan keluarga kami mangsa keadaan,” katanya.

Sebelum ini, pihak pembangkang mendakwa status kerakyatan ibu kepada empat anak itu bertukar daripada kad pengenalan merah (penduduk tetap) kepada biru (warganegara) dalam tempoh empat jam saja.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar ketika diminta mengulas mengenai perkara ini berkata penyebaran berita palsu sudah menjadi satu permainan pembangkang dalam usaha menghalalkan matlamat kumpulan BERSIH yang mendakwa kononnya sistem pilihan raya di negara ini tidak telus.

“Dengan bukti yang ada, saya menggesa pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah ini memohon maaf kepada Mismah sekeluarga. Jangan cipta isu yang hanya bersandarkan berita daripada blog dan laman web semata-mata.

“Sekiranya beberapa pemimpin pembangkang mempunyai kad pengenalan dengan kod negerinya nombor 71 (dilahirkan di luar negara) boleh jadi ahli Parlimen dan wakil rakyat, apa salahnya Mismah mendaftar sebagai pengundi. Saya minta pembangkang siasat pemimpinnya terlebih dulu sebelum mencipta isu,” katanya.

UTAMABERITADakwaan dapat kerakyatan 4 jam tak benar - Mismah

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium