DAP angkat dua Adun PAS sokong Wan Azizah sebagai wira

19

Adun sokong Azizah

Disebalik tuduhan empat Exco Adun PAS yang terus kekal bersama Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini sebagai pengkhianat, DAP mengangkat dua Adun PAS yang menyokong pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai wira.

DAP berpendirian sekiranya Adun PAS Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin tidak menandatangani akuan bersumpah meyokong Presiden PKR itu, mungkin Khalid masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Adun DAP Bukit Gasing, Rajiv Rashyakaran berkata, tindakan Saari dan Hasnul inilah yang mengubah haluan krisis politik Selangor dan akhirnya membawa kepada penyelesaian konflik.

“Walaupun pada asalnya sokongan itu dibuat untuk Wan Azizah, tetapi akhirnya Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang dipilih.

“Mereka ini bukan pengkhianat, mereka ini perwira rakyat. Disebabkan mereka, cubaan UMNO untuk bergabung dengan PAS dan membentuk kerajaan di Selangor tidak berjaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam DAP di sini, malam ini.
Turut hadir dalan majlis tersebut ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta Saari dan Hasnul.

Katanya lagi, tindakan dua Adun tersebut dianggap wira kerana menyelamatkan Pakatan Rakyat (PR).

Tindakan dua Adun tersebut jelas tidak diketahui pimpinan PAS dan mereka kini berhadapan dengan tindakan tatatertib yang bakal diputuskan oleh PAS Pusat.

Beberapa hari lalu Setiausaha Agung DAP melabelkan empat bekas Exco itu sebagai pengkhianat kerana tidak melepaskan jawatan bersama-sama enam Exco dari PKR dan DAP yang dipecat oleh Khalid.

Empat bekas Exco itu ialah Iskandar A Samad, Sallehen Mukhyi, Ahmad Yunus Hairi dan Dr. Halimah Ali.


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here