DAP Bersedia Cari Formula Bentuk Kerajaan Baharu Selangor – Tony Pua - pakdin.my

kerajaan dap selangor 2

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor kini berada dalam keadaan tidak stabil disebabkan usul Dewan Ulama PAS yang memutuskan hubungan dengan DAP dalam muktamar PAS baru-baru, kata Pengerusi DAP Selangor Tony Pua.

Tony Pua dilaporkan The Malaysian Insider berkata walaupun PAS memberi alasan usul itu belum dimuktamadkan, namun ia mustahil dapat menjalankan kerja seperti biasa dan bersedia mencari formula untuk membentuk kerajaan baharu di Selangor.

“PR di Selangor kini berada dalam keadaan yang tidak pernah dialaminya. Satu-satunya perkara yang pasti dalam situasi ini ialah, keadaan tidak boleh, atau tidak akan sama lagi, selepas ini.

“Sukar dibayangkan sesiapa boleh berfikir atau percaya PR boleh terus wujud dalam keadaan semasa ini dengan adanya usul yang begitu jelas,” kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.

Pua berkata, hubungan rapuh antara pemimpin PR Selangor diburukkan lagi dengan ancaman Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat Nasrudin Hassan pada Jumaat, mengatakan ulama akan menggunakan “lutut” dan “siku” mereka mengajar DAP.

Pua juga mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri boleh berfungsi sekiranya ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) PAS enggan bekerjasama dengan exco DAP.

“Boleh bayang tak bagaimana mesyuarat exco negeri akan menjadi di luar realiti, dengan exco PAS mengabaikan exco DAP atau berpura-pura mereka tidak wujud?

“Masalahnya tidak hanya akan timbul dalam dalam exco, tetapi di semua peringkat kerajaan Selangor.

“Adakah ahli majlis tempatan PAS, contohnya tidak akan mengendahkan semua komen, cadangan dan saranan ahli majlis tempatan DAP ketika menjalankan tugas mereka di peringkat kerajaan tempatan?,” katanya.

Pua berkata tumpuan kini ialah kepada bentuk penyusunan semula politik yang perlu dilakukan bagi membolehkan kerajaan campuran baharu itu terus berkuasa di Selangor.

Katanya, kegagalan untuk mencari gabungan yang menerima polisi bersama PR mungkin membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri Selangor dan pilihan raya terpaksa diadakan.

“Setakat hari ini, tiada keputusan muktamad dibuat DAP Selangor. Pada hari akan datang, kita akan berbincang dengan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan mematuhi sebarang keputusan yang dibuat di peringkat nasional.

“Tidak seperti pemimpin beberapa parti politik lain yang kita tahu, rakyat Malaysia jangan risau, pemimpin DAP di Selangor tidak akan menjadi hipokrit dan mengkhianati prinsip kami untuk kekal berkuasa walau apa jua keadaannya,” kata Pua.

PAS pada muktamar tahunannya ke-61 yang berakhir pada Sabtu, menerima tanpa bahas usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP. Pemimpin PAS bagaimanapun menegaskan ia bukan keputusan muktamad.

Usul itu asalnya dibawa Dewan Ulama, tetapi kata putus sama ada untuk melaksanakannya atau tidak akan dibuat Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama.

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata pada Sabtu, usul itu tidak memberi kesan kepada pemimpin PAS dalam kerajaan negeri itu kerana ia belum muktamad.

Katanya, beliau tidak tahu mengapa Dewan Ulama menimbulkannya, sambil menambah, ia tidak menggambarkan pendirian PAS Selangor.

Iskandar berkata, PAS Selangor tiada masalah dengan DAP atau PR, dan beliau akan menyatakan perkara ini kepada AJK Pusat apabila ia membincangkan usul itu lebih lanjut.

UTAMAPOLITIKDAP Bersedia Cari Formula Bentuk Kerajaan Baharu Selangor – Tony Pua

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium