DAP Selangor gelar bekas ahli UMNO ‘katak’, kutip ‘sampah’ mahu PM tunai janji - pakdin.my

DAP Selangor mengingatkan Perdana Menteri supaya tidak mengambil pemimpin ‘katak’ merujuk kepada ahli UMNO Sabah yang keluar parti untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu, berkata beliau juga pernah mendengar Tun Dr Mahathir Mohamad menggelar pemimpin UMNO sebagai ‘tidak berguna’ dan ‘sampah’ sewaktu pertemuannya dengan beberapa aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini.

“Adakah Dr Mahathir masih ingat pertemuannya dengan beberapa aktivis dan NGO menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) apabila beliau memberi jaminan ketika itu tidak akan menerima ‘katak’ daripada UMNO.

“Saya masih ingat lagi, kerana saya berada di sana bersama-sama Waytha Moorthy. Ya, Waytha Moorthy yang kini sudah menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan menerusi blog patreon.com

Kelmarin, UMNO Sabah menerima tamparan hebat apabila sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), empat Ahli Parlimen, dua Senator dan 21 Ketua Bahagian UMNO Sabah bertindak meninggalkan parti itu.

Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama 14 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Mereka termasuk sembilan ADUN iaitu Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Turut sama ialah empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), manakala dua lagi Senator ialah Datuk John Ambrose yang juga Ketua UMNO Bahagian Penampang serta Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang mengetuai UMNO Bahagian Pensiangan.

Ahli Parlimen Sipitang, Hafez Yamani Musa, yang belum mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, turut menyuarakan hasrat keluar UMNO untuk bersama kumpulan terbabit.

Mengulas lanjut, Liu yang juga ADUN Sungai Pelek berkata, beliau juga berharap Perdana Menteri tidak akan menjadi pengutip sampah dengan cara membawa pemimpin UMNO serta yang lain menyertai PPBM.

“Dr Mahathir juga akan dilihat sebagai pengkhianat kepada pengundi pada PRU14 yang berhasrat menumbangkan kerajaan diketuai UMNO, sekiranya membawa ‘katak’ dari Sabah yang meninggalkan UMNO semalam.

“Jangan katakan kepada saya sekarang ini beliau mahu mereka masuk semula ke dalam kerajaan melalui pintu belakang PPBM,” katanya.

Jelasnya, beliau juga sedar PPBM hanya mempunyai beberapa Ahli Parlimen saja, berbanding DAP dan PKR, namun itu bukanlah alasan Pengerusi PPBM bertindak sedemikian.

“Saya yakin pada masa hadapan, PPBM boleh menang lebih banyak kerusi tetapi bersabarlah.

“Kenapa mahu cepat menambah keahlian dengan cara begini. Ini bukanlah cara yang betul,” katanya.

Liu berkata, banyak perkara baik dilakukan Perdana Menteri tidak dihargai sekiranya beliau masih mahu membenarkan pemimpin UMNO dari Sabah yang keluar parti untuk menyertai PPBM.

“Adakah Dr Mahathir tahu, PKR pada suatu ketika dulu hanya mempunyai seorang ahli Parlimen saja iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Adakah Perdana Menteri juga tahu kerusi ahli Parlimen DAP pernah berkurangan sebanyak sembilan kerusi, tetapi kita menjaganya dan berkembang secara semula jadi. Inilah caranya,” katanya.

UTAMAPOLITIKDAP Selangor gelar bekas ahli UMNO ‘katak’, kutip ‘sampah’ mahu PM tunai...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium