25.9 C
Kuala Lumpur
Monday, November 30, 2020

Dapatkah PAS Melaksanakan Undang-Undang Hudud?

parlimen-malaysia

Meskipun pucuk pimpinan PAS bertegas untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian bagi melaksanakan Hukum Hudud di Kelantan, penganalisis politik percaya langkah itu tidak lebih daripada satu sandiwara politik.

PAS sudah lama menyimpan impian untuk melaksanakan Hudud di Kelantan, sejak 1990-an.

Impian itu kembali bersinar apabila negara jiran Brunei melaksanakan Undang-Undang Syariah dan Hukum Hudud dengan serentak.

Undang-undang Syariah dan Hukum Hudud Brunei yang berkuatkuasa pada 22 April akan memperkenalkan hukuman tersendiri untuk kesalahan rogol, zina, liwat dan hubungan seks luar nikah.

Penganalisis politik, Dr James Chin, felo kanan Institut Pengajian Asia Tenggara di Singapura, berkata PAS berdepan dengan tekanan terutamanya daripada penyokong mudanya yang berhujah sekiranya Brunei boleh melaksanakannya, mengapa tidak di Malaysia.

ADA PERBEZAAN

Bagaimanapun, di Malaysia, perlembagaan Malaysia yang berbentuk sekular menjadi penghalang, justeru, PAS memerlukan kelulusan Parlimen untuk meminda perlembagaan itu sebelum ia boleh melaksanakan Hukum Hudud.


PAS yang sedar ia akan menghadapi pelbagai halangan dalam menggerakkan rang undang-undang itu masih mahu meneruskan hasratnya kerana ia tahu Hudud boleh membantu parti memperbaharui sokongan rakyat kerana kurang menyerlah berbanding rakannya dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), PAS tidak menonjolkan sangat isu perkauman dan agama untuk memuaskan hati rakan kongsinyan dalam Pakatan terutamanya DAP yang menentang keras Hukum Hudud.

Keadaan itu menyebabkan PAS mencatat pencapaian yang muram dalam PRU13.

Meskipun begitu, sesetengah ahli politik percaya langkah itu adalah satu strategi politik yang bijak juga untuk memalukan UMNO dan meletakkan parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu dalam kedududkan yang sukar.

“Sekiranya UMNO mengundi menentang rang undang-undang itu, ini akan memberi kemenangan kepada PAS dalam perkara Hukum Hudud,” jelas ketua pegawai eksekutif, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEA), Wan Saiful Wan Jan.

“Ada dua perkara di sini. Satu, sesetengah ahli PAS percaya Hudud adalah kewajipan agama sementara yang lain percaya ini adalah langkah politik yang baik,” tambahnya.

Bagaimanapun, Dr James Chin berkata sewaktu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memimpin PAS, parti itu ditegah menggunakan isu Hudud untuk menundukkan UMNO.

LANGKAH UNTUK MEMALUKAN UMNO DAN PKR

“Di samping usaha untuk memalukan UMNO, saya juga percaya ia juga sebagai balasan terhadap tindakan saman RM2 juta PKR terhadap presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” kata ahli politik veteran MCA, Datuk Yap Pian Hon.

Yap merujuk kepada bekas calon PKR untuk Bukit Besi and ketua pemuda PKR Dungun, Mohd Shamsul Mat Amin yang enggan menarik balik saman malu RM2 juta terhadap Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.


Pada 23 Feb lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memerintahkan Abdul Hadi supaya membayar ganti rugi sebanyak RM2 juta kepada Mohd Shamsul bagi saman fitnah yang dikemukakan pada 5 Dis tahun lalu.

Mohd Shamsul mengemukakan saman atas kenyataan yang dibuat Hadi bahawa penjual dadah juga merupakan antara calon PKR untuk PRU13.

PAS menjadikannya sebagai alasan untuk menamakan calonnya sendiri bagi kerusi yang diperuntukkan kepada PKR, mengakibatkan pertandingan tiga penjuru di Bukit Besi.

TIDAK CUKUP SOKONGAN UNTUK HUDUD

Bagi membolehkan Hukum Hudud dilaksanakan di Kelantan, PAS memerlukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat, iaitu dari sekurang-kurangnya 148 daripada jumlah 222 ahli Parlimen.

Bagaimanapun, ia memerlukan hanya 75 ahli Parlimen menentang rang undang-undang itu untuk menghalang impian PAS melaksanakan Hukum Hudud di Kelantan.

“Jika pun semua ahli Parlimen beragama Islam menyokong rang undang-undang itu, PAS masih tidak mempunyai sokongan dua pertiga untuk ia diluluskan. PAS tahu keadaan ini sebab itulah saya katakan ia hanya satu langkah politik,” kata Chin.

Sesetengah pemimpin PAS bersetuju dengan pandangan Chin iaitu jika pun rang undang-undang itu diluluskan, Hukum Hudud masih tidak boleh dilaksanakan tanpa kewujudan sistem Syariah yang menyeluruh.

RANG UNDANG-UNDANG PERSENDIRIAN


Bagaimanapun, cubaan PAS untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian jarang berlaku dalam perundangan Malaysia.

Rang undang-undang persendirian adalah cadangan undang-undang yang diperkenalkan dalam badan perundangan oleh anggota dewan perundangan yang tidak bertindak bagi pihak kerajaan.

Meskipun anggota PAS dilaporkan begitu gembira dengan rang undang-undang itu, Chin masih tidak yakin parti itu akan meneruskan hasratnya membentangkan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat.

“Meskipun ia akan dibenarkan untuk dibentangkan, ada halangan lain. Kalau pun dapat sokongan untuk diluluskan (undi dua pertiga), masih ada cabaran besar untuk melaksanakannya atas pelbagai sebab teknikal,” tambahnya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ada menyatakan rang undang-undang persendirian Hudud akan dibentangkan di Parlimen bagi mendapatkan kelulusan bagi pelaksanaan Enakmen Kod Jenayah Syariah (II).

Ahmad berkata PAS akan memilih sesi Parlimen yang sesuai untuk mengemukakan rang undang-undang itu seperti yang disediakan di bawah Artikel 76(A) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, ketua publisiti DAP, Tony Pua dan naib presiden PKR, N. Surendran berkata pakatan pembangkang tidak pernah bersetuju dengan Hukum Hudud dan sebarang cubaan untuk mengemukakan rang undang-undang itu akan ditentang sekeras-kerasnya.

Berita Berkaitan

Anwar janji lepas jawatan jika gagal tumbangkan PN, kata Pemuda PAN Bukit Bintang

Ketua Pemuda PAN Bukit Bintang, Sheikh Khuzaifah Bawazeer mendakwa Anwar Ibrahim berjanji akan melepaskan...

PAS Selangor belum bincang agihan kerusi, nafi tanding 3 Parlimen

PAS Selangor belum mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi di negeri itu termasuk memuktamadkan calon...

Tun Mahathir kempen Kerajaan Perpaduan lagi

Ketika krisis politik melanda negara, nampaknya bekas perdana menteri paling lama, Tun Dr Mahathir...

Agong guna ‘soft power’ selamatkan negara dari ahli politik kata peguam

Kejayaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengemudi negara ketika kerajaan...

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

00:01:14

[Video] BN dan UMNO akan pantau perlaksanaan skim i-Sinar tidak rumit dan menyusahkan rakyat

Saya perhatikan ada yang bimbang bahawa proses pengeluaran skim i-Sinar KWSP akan tetap rumit.. Seperti yang dimaklum Menteri Kewangan petang tadi dalam Dewan Rakyat, dia...