MT UMNO dijangka memutuskan sama ada Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh akan digantung atau dipecat.
Spekulasi berhubung perkara tersebut timbul berikutan gesaan pemimpin UMNO yang mahu tindakan tegas diambil terhadap Muhyid­din kerana berterusan mengkritik kepemimpinan negara khususnya berhubung isu 1Malaysia Develop­ment Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion.
Malah, Ahli MT UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada Isnin lalu secara terbuka menggesa Muhyiddin berundur daripada jawatannya dalam parti.
Pendirian serupa turut dinyatakan oleh veteran UMNO, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang meminta Muhyiddin meletakkan jawatan sekiranya beliau tidak lagi sehaluan dengan kepemimpinan parti yang lain.
Walau bagaimanapun, Ketua Penera­ngan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan desakan tersebut hanya bersifat peribadi dan tidak mewakili parti.
Sebelum ini, spekulasi sama berlegar menjelang mesyuarat MT UMNO pada 24 November lalu namun hanya Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman yang dipecat atas kesalahan melanggar disiplin parti.
Muhyiddin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pula terselamat daripada dikenakan sebarang tindakan.
Kini, persoalan sama berulang dan banyak pihak tertanya-tanya sama ada Muhyiddin akan ‘terselamat’ sekali lagi selepas mesyuarat MT esok.
Jika MT UMNO memutuskan untuk bertindak tegas terhadap Muhyiddin, apakah bentuk hukuman yang akan dijatuhkan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu?
Berdasarkan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO, mana-mana ahli yang melanggar peraturan disiplin parti boleh digantung keahlian atau dipecat selain diberi amaran serta dilarang mewakili UMNO dalam pilihan raya.
Sekiranya spekulasi itu benar, apakah nasib yang mungkin diterima Muhyiddin esok, digantung atau dipecat?