Diisytihar muflis: Adun Lenggeng dakwa disabotaj - pakdin.my

ishak-ismail-lenggeng

“Ada pihak yang sengaja mahu menyingkirkan saya,” kata ADUN Lenggeng, Datuk Ishak Ismail, yang diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi, Mac lalu.

Beliau juga mendedahkan langkah itu adalah sengaja dilakukan untuk mengaibkan dirinya sekaligus menyingkirnya sebagai wakil rakyat.

“Saya tidak pernah mendapat apa-apa notis tuntutan dari pihak lain meminta saya untuk menjelaskan bayaran tertunggak. Jika mereka ikhlas, mereka boleh memanggil saya untuk membincangkan hal-hal berkaitan, ” katanya pada Khamis.

Ishak tersingkir sebagai Ketua UMNO Bahagian Seremban pada tahun 2013 selepas 25 tahun menerajui jawatan itu kerana diisytiharkan muflis oleh mahkamah pada 18 Mac lalu gara-gara gagal menjelaskan pinjaman kepada ahli perniagaan Datuk Misran Sukadi.

Bagaimanapun Ishak berkata beliau hanya menerima perintah mahkamah itu pada 27 April lalu.

“Peguam saya menghantar permohonan untuk mengetepikan keputusan tersebut dan ia akan didengar di Mahkamah Tinggi pada Khamis,” katanya.

Ishak juga menjelaskan, masalah berkenaan tercetus kerana beliau bertindak sebagai penjamin kepada kontraktor yang membuat pinjaman sebanyak RM2 juta daripada Misran pada tahun 2007 dan gagal membayar pembayaran.

“Oleh kerana saya sebagai penjamin, beban itu jatuh pada saya. Saya telah membayar RM1.2 juta secara berperingkat-peringkat sejak itu.

Ishak berkata, beliau hairan mengapa peguam Misran itu tidak menghantar notis tuntutan melalui pos berdaftar sebelum diisytiharkan muflis.

“Semua orang di kawasan saya tahu bahawa saya akan berada di sini beberapa hari dalam seminggu. Tidak ada masalah untuk mencari saya di kawasan sendiri,” tambahnya.

Ishak bagaimanapun enggan mendedahkan siapa yang mahu menyingkirnya sebagai ADUN.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamed Hasan berkata kedudukan Ishak hanya akan diketahui selepas keputusan rayuan oleh mahkamah.

UTAMABERITADiisytihar muflis: Adun Lenggeng dakwa disabotaj

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium