Dr Mahathir Risau Campur Tangan Asing Apabila Umat Islam Berpecah Tiga

Dr Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, umat Islam di negara ini kini berpecah kepada tiga dan jika ia berterusan ia akan memberi peluang kepada campur tangan asing di negara ini.

Katanya tiga puak orang Islam yang ada di negara ini sebenarnya “berperang” sesama sendiri walaupun tidak menggunakan senjata seperti di beberapa negara Islam lain yang telah berpecah.

“Kerana berpecah-belah kita menjadi lemah. Kita mungkin lupa 55 tahun dulu, semua orang Islam dan Melayu di negara ini berjuang untuk kemerdekaan dan (menentang) Malayan Union.

“Masa itu umat Islam memang lemah tetapi kita dapat tumpaskan Malayan Union kerana kita bersatu padu. Walaupun tiada wang ringgit dan kekuatan lain tetapi kerana bersatu kita boleh mengalah Malayan Union,” katanya pada majlis berbuka puasa di Masjid Al-Ehsan, Batu 3, Kodiang, Jerlun malam tadi.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dan anaknya Datuk Mukhriz, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Ahli Parlimen Jerlun.

Bernama melaporkan, Dr. Mahathir berkata, banyak negara Islam kini bermasalah seperti berperang sesama sendiri, berperang mempertahankan negara daripada orang asing dan berhadapan dengan masalah kebuluran.

“Inilah yang berlaku di kebanyakan negara Islam. Di negara-negara mereka, perpecahan berlaku di kalangan rakyat. Akhirnya umat Islam menjadi lemah dan orang asing ambil kesempatan kuasai orang Islam.

Bila umat Islam berpecah mereka sebenarnya tidak dapat mempertahankan negara kerana tentera dan senjata tidak mencukupi, kewangan tak kukuh. Orang asing campur tangan dan cuba jatuhkan kerajaan-kerajaan itu,” katanya.

Dr. Mahathir berkata hanya perpaduan yang boleh menjadi benteng untuk mempertahankan negara ini daripada campur tangan kuasa asing.

“Kalau tak bersatu, kita akan jadi seperti orang Islam di negara-negara lain. Kita kena berusaha untuk menentukan nasib orang Islam tidak jadi buruk kerana perpecahan kita,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu murtad kata Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak perlu tergesa-gesa untuk mengambil tindakan dalam isu dakwaan cubaan memurtadkan umat Islam di negara ini sebaliknya perkara itu perlu diselidiki dahulu.

“Kadang-kadang tuduhan itu benar, kadang-kadang tak. Kalau gopoh untuk menyiasat, esok bila (tindakan itu) salah, orang dah tak percaya lagi. Tunggu dulu sehingga dapat maklumat yang benar,” katanya.

Dr Mahathir berkata masyarakat Islam sendiri perlu mengambil berat terhadap golongan yang memerlukan bantuan bagi mengelak kemungkinan akidah mereka terpesong.

“Kalau tak ambil berat dan mereka menderita, mungkin mereka akan tertarik dengan orang yang menawarkan bantuan kepada mereka,” katanya.

Comments (No)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.