Dua kemalangan maut dalam tempoh kurang 24 jam di Hulu Selangor #pakdin.my

Kuala Kubu Bharu

Dua kemalangan maut berlaku dalam tempoh kurang 24 jam di dua lokasi berasingan di sini, kelmarin.

Kejadian pertama berlaku kira-kira jam 2.30 pagi di hadapan sebuah stesen minyak di Kilometer 50, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, kemalangan membabitkan kereta Toyota Camry dan sebuah motosikal Honda Wave.

“Kemalangan berlaku apabila pemandu kereta dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur tidak sempat mengelak motosikal ditunggang seorang lelaki Orang Asli yang memasuki laluannya.

“Penunggang motosikal terbabit cedera parah dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bharu,” katanya.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Jefri Apu berusia 19 tahun dari Kampung Orang Asli Tun Razak.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, sepasang suami isteri yang menunggang motosikal dirempuh sebuah motosikal lain di Jalan Batang Kali-Hulu Yam di sini, kira-kira jam 3.20 petang kelmarin.

Kemalangan berlaku apabila pasangan itu keluar dari simpang kanan jalan menghala ke Ulu Yam Baru.

“Ketika itu sebuah lagi motosikal dari arah Batang Kali ke Ulu Yam tidak sempat mengelak lalu merempuh pasangan itu,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan pembonceng motosikal itu, dikenali sebagai Nur Azima seorang warga Indonesia maut akibat kecederaan parah.

“Kedua-dua kes kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berkaitan