Friday - July 30, 2021 @ 18:42
BERITANASIONALDua maut, dua parah dalam kemalangan di Sabah

Dua maut, dua parah dalam kemalangan di Sabah

ANGGOTA bomba sedang bertungkus lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan dalam kemalangan ngeri itu

KOTA KINABALU: Seorang pemandu Perodua Kancil dan seorang pejalan kaki maut dalam dua nahas jalan raya berasingan di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian pertama, seorang terbunuh sementara dua lagi parah setelah terlibat dalam nahas jalan raya ngeri berhampiran Indah Permai, Sepanggar, dekat sini kira-kira jam 1.50 pagi kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Francis Voon Chee, 24, berasal dari Taman Satria, Menggatal, meninggal dunia di Hospital Likas sekitar jam 3.50 pagi setelah kereta Perodua Kancil dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah Toyota Innova.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa bersama seorang rakan menuju ke Indah Permai dari kawasan Rampayan, Menggatal, sebelum pelanggaran berlaku sehingga menyebabkan kenderaan dipandu terbabas.

Mangsa dikatakan tersepit di tempat duduk. Dua yang parah ialah rakan pemandu berkenaan, iaitu remaja lelaki berusia 16 tahun dan seorang penumpang lelaki berumur 33 tahun dalam Toyota Innova.

Kejadian itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu Kancil itu meninggal dunia di hospital, sementara dua lagi lelaki yang terlibat kemalangan parah dan kini menerima rawatan lanjut.

“Kita masih menyiasat kes ini dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi memberikan bantuan kepada pihak polis, “katanya.

Sementara dalam kes kedua, seorang pejalan kaki maut dilanggar sebuah lori ketika berada di tepi jalan di Jalan Kampung Lobou, Menggatal, dekat sini kira-kira jam 2 pagi kelmarin.

Mangsa ialah lelaki tempatan dikenali sebagai Tomas Awang, 40. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dada serta dalaman dan disahkan meninggal dunia ketika dihantar ke hospital.

Difahamkan ketika kejadian, pemandu lori, seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun sedang membuat pusingan U menuju ke Jalan Tuaran dari lokasi terbabit dan tidak semena-mena terlanggar mangsa yang secara kebetulan berada di tepi jalan berkenaan.

Pemandu lori itu tidak mengalami kecederaan, Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here