23.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, January 16, 2021

Dua pekerja kilang ais maut, 18 cedera terhidu gas ammonia

SHAH ALAM: Dua pekerja kilang ais maut manakala 18 lagi cedera selepas terhidu gas ammonia yang bocor di premis itu di Seksyen 36 di sini, pagi Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 Shah Alam, Timbalan Penguasa Bomba Azmel Kamarudin berkata dalam kejadian kira-kira 5.12 pagi itu, kedua-dua mangsa, dipercayai warga India yang identiti belum dikenalpasti, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sementara 18 pekerja warga asing yang cedera dihantar ke beberapa hospital iaitu lima di HTAR, Hospital Shah Alam (enam), Hospital Sungai Buloh (tiga) dan Hospital Banting (empat) bagi menerima rawatan.

“Kedua-dua pekerja yang maut itu dipercaya terhidu terus dengan gas ammonia yang bocor dari tangki simpanan bahan ammonia ketika mereka melakukan kerja rutin.

“Manakala pekerja lain yang cedera mengalami sesak nafas, muntah-muntah dan pedih mata kerana kandungan gas ammonia tinggi bacaannya iaitu 500 ppm (parts per million) berbanding bacaan normal iaitu 50 ppm ke bawah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Azmel berkata pihaknya yang terdiri daripada tujuh pegawai dan 19 anggota termasuk dari Pasukan Khas Tindakan Bahan Berbahaya (Hazmat) mengambil tindakan pengusiran bangunan iaitu mengarahkan pekerja keluar dari kilang itu selain mengarahkan penghuni kawasan perumahan yang terletak dalam lingkungan tiga kilometer radius dari kilang berkenaan untuk mengosongkan premis masing-masing.

Selain itu, beliau berkata operasi sebuah sekolah Cina yang terletak berhadapan kilang terbabit  dinasihat ditutup hari ini atas faktor keselamatan.

“Di dalam kilang berkenaan terdapat lima buah mesin yang sedang beroperasi dan salah satu mesin yang didapati bocor telah ditutup bal injapnya dan sekarang bacaan semakin menurun. Kita gunakan beberapa kaedah seperti membuka semua pintu dan tingkap kilang bagi keluarkan gas, menggunakan kipas ekzos kilang dan kaedah semburan air halus.

“Cuma cabaran kita sekarang adalah berlakunya pertukaran tiupan angin yang kita khuatir akan bawa gas ammonia merebak ke kawasan sekeliling. Sehingga pukul 11 pagi ini keadaan terkawal, tiada lagi bacaan 500 ppm cuma masih lagi kita kepung kawasan untuk pastikan keselamatan kawasan orang awam terjamin,” katanya dan menambah bahawa insiden berkenaan tidak melibatkan kebakaran dan kejadian itu adalah yang kedua berlaku di kilang berkenaan.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam satu kenyataan berkata Kerajaan Negeri memandang berat kejadian kebocoran gas ammonia itu dan beliau mengarahkan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam serta pihak berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya agar kawasan sekeliling serta penduduk sekitar tidak menerima kesan daripada kejadian itu.

Beliau dalam pada itu turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan Bomba dan Penyelamat yang melakukan kerja-kerja menyelamat itu.


………….
JENIS INSIDEN: KEBOCORAN GAS AMMONIA
TARIKH/MASA TERIMA PANGGILAN: 13.08.2018 (0512)
SAMPAI LOKASI : 0530
ALAMAT : EVEREST ICE JLN NAGASARI 36/10 DESA LATANIA
BALAI TERLIBAT : BBP SHAH ALAM (HAZMAT)
JUMLAH ANGGOTA : TPgB -1, PBK II – 1, PB – 13
KOMANDER OPERASI : TPgB AZMEL (0193699767)
LAPORAN AWAL: KEBOCORAN BAHAN KIMIA AMMONIA DALAM KILANG AIS. PUNCA KEBOCORAN TELAH DITUTUP. TERAPAT 17 ORANG MANGSA TERDIRI DARIPADA PEKERJA KILANG DAN PENDUDUK SEKITAR. RED ZONE : 2 ORG, YELLOW ZONE : 8 ORG, GREEN ZONE : 5 ORG DAN 2 ORG MENINGGAL DUNIA. DISYAKI TERDAPAT SEORANG LAGI MANGSA DI DALAM DAN KERJA-KERJA MENYELAMAT SEDANG DILAKUKAN. BACAAN AWAL GAS AMMONIA DI DALAM KILANG :400ppm DAN DI LUAR BANGUNAN : 150ppm.
MANGSA : 17 ORANG

SEKIAN,TERIMA KASIH.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.