DUN Sabah: Nurul Izzah, Tian Chua Dilarang Masuk Ke Sabah - pakdin.my

tian-chua-sulu

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan usul khas melarang dua Naib Presiden PKR iaitu Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua daripada memasuki negeri itu.

Usul dibentangkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah itu disokong oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan diluluskan selepas hampir dua jam dibahaskan oleh anggota dewan pada persidangan itu.

Sebanyak 47 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah menyokong usul khas di bawah Peraturan Tetap 31 (3) manakala tiga ADUN berkecuali.

Bagaimanapun, lima ADUN pembangkang iaitu daripada PKR dan DAP keluar dewan sebelum pengundian.

Ketika membentangkan usul itu, Tan mahu pihak berkuasa kerajaan mengharamkan kemasukan Nurul Izzah dan Tian Chua ke Sabah selain harus disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Sementara pihak yang mempunyai kaitan dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, Jacel H. Kiram atau sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan dengan mereka diharamkan masuk ke Malaysia,” katanya.

Pada 9 Nov lepas tersebar gambar Nurul Izzah bertemu Jacel yang merupakan anak perempuan kepada bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III.

Tan berkata tindakan Nurul Izzah, yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai, bertemu Jacel yang ada kaitan dengan pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu, adalah suatu perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.

Pada Februari 2013, kumpulan penceroboh dari selatan Filipina memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu, yang mana insiden itu telah mengorbankan banyak nyawa termasuk anggota pasukan keselamatan.

Tan berkata pemergian Nurul Izzah bersama anggota Parlimen Batu, Tian Chua menemui Jacel menjadikan rakyat bertambah sangsi dan curiga bahawa mereka telah diperalatkan oleh anasir yang menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.

Tan menegaskan keselamatan dan kedaulatan adalah isu yang menyentuh hati dan jiwa raga rakyat Sabah dan apabila ada sesiapa sahaja yang cuba berdamping dan bermesra dengan musuh ia adalah pengkhianatan terhadap kedaulatan negara.

Sementara itu, Musa berkata tindakan Nurul Izzah dan Tian Chua, bukan sahaja menghina rakyat Sabah, tetapi sengaja memandang rendah pengorbanan pasukan keselamatan yang berjuang dan menggadai nyawa demi mempertahankan keselamatan Sabah.

Beliau menegaskan bahawa semua cadangan dan pandangan disuarakan pada persidangan kali ini akan diteliti dan dipertimbangkan bagi mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Ini termasuk tindakan menggunakan kuasa yang ada dan Akta Imigresen bagi menghalang pihak terbabit (Nurul Izzah dan Tian Chua) daripada memasuki negeri ini walau dari pintu mana sekali pun kerana dikhuatiri mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan Sabah,” katanya.

UTAMABERITADUN Sabah: Nurul Izzah, Tian Chua Dilarang Masuk Ke Sabah

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium