Ekonomi Malaysia Berkembang 5.1 Peratus Pada Q4 2013, 4.7 Peratus Setahun Penuh - pakdin.my

bank negara malaysia

Ekonomi Malaysia yang mengembang 5.1 peratus pada suku keempat tahun lepas, disokong oleh permintaan sektor swasta dan peningkatan eksport, mencatat pertumbuhan 4.7 peratus bagi setahun penuh berbanding 5.6 peratus pada 2012, walaupun ketidaktentuan fiskal yang berterusan.

Bank Negara Malaysia berkata aktiviti ekonomi dunia meningkat pada suku keempat berikutan pemulihan berperingkat-peringkat ekonomi utama manakala pertumbuhan di seluruh Asia berterusan, dengan permintaan domestik yang perlahan diimbangi prestasi eksport yang lebih baik.

Pada suku pertama, kedua dan ketiga, ekonomi berkembang masing-masing pada 4.1 peratus, 4.4 peratus dan 5.0 peratus, kata bank pusat itu dalam satu kenyataan.

Bagi bekalan, Bank Negara berkata sektor ekonomi utama terus berkembang, disokong oleh aktiviti perdagangan dan domestik.

Berdasarkan asas pelarasan bermusim suku ke suku, ekonomi mencatat pertumbuhan 2.1 peratus pada suku keempat 2013 berbanding 1.7 peratus pada suku sebelumnya.

Bank Negara yang menyiarkan angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku keempat yang dinanti-nantikan, hari ini berkata pertumbuhan dalam penggunaan swasta kekal tinggi pada suku keempat walaupun tahap peluasan menurun.

Perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh kedudukan pekerjaan yang stabil dan peningkatan gaji, terutama dalam sektor berorientasikan domestik, katanya.

Peningkatan dalam penggunaan awam turun kepada 5.1 peratus berikutan perbelanjaan kerajaan yang rendah ke atas emolumen, katanya.

Bank Negara berkata pembentukan modal tetap kasar berkembang 5.8 peratus, diketuai perbelanjaan sektor swasta yang besar manakala pertumbuhan pelaburan awam menguncup.

Pertumbuhan dalam pelaburan swasta meningkat kepada 16.5 peratus berikutan perbelanjaan modal yang lebih tinggi dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Pelaburan swasta susut 2.7 peratus, yang menunjukkan perbelanjaan modal perusahaan awam yang rendah berikutan pengurangan kecil perbelanajan pembangunan kerajaan persekutuan.

Bagi bekalan, pertumbuhan disokong oleh sektor utama ekonomi.

“Sektor perkhidmatan meningkat selari dengan peningkatan dalam aktiviti perdagangan dan pembuatan. Sektor pembinaan terus meningkat, disokong oleh pertumbuhan tinggi industri berorientasikan domestik dan eksport,” kata Bank Pusat.

Pertumbuhan sektor swasta terus kukuh, disokong oleh aktiviti dalam subsektor bukan kediaman dan kediaman.

Sektor komoditi bagaimanapun lemah berikutan pengeluaran getah, minyak sawit dan minyak mentah yang rendah.

Bagi kadar inflasi, yang diukur oleh perubahan tahunan dalam Indeks Harga Pengguna (IHH), angkanya meningkat kepada 3.0 peratus pada suku keempat, sebahagian besarnya mencerminkan pelarasan harga produk petroleum dan gula, dan peningkatan dalam duti eksais tembakau.

Gangguan bekalan berikutan kedudukan cuaca, turut menyebabkan harga makanan lebih tinggi, kata BNM.

Bank pusat berkata lebihan dagangan meluas kepada RM27.4 bilion pada suku keempat, dengan eksport dan import kasar berkembang lebih pantas, menunjukkan peningkatan dalam ekonomi global dan peningkatan permintaan domestik.

Akaun kewangan mencatat aliran keluar bersih sebanyak RM9.7 bilion pada suku keempat dengan kemasukan bersih pelaburan langsung diimbangi pengaliran keluar pelaburan lain, kata bank itu.

Imbangan pembayaran mencatat defisit kecil sebanyak RM2.9 bilion pada suku keempat.

Rizab antarabangsa Bank Negara berjumlah RM441.7 bilion (bersamaan US$134.9 bilion) dan paras rizab ini mengambil kira pelarasan penilaian semula tukaran sukuan.

Sehingga 30 Jan, 2014, kedudukan rizab berjumlah RM436.0 bilion (bersamaan US$133.1 bilion), mencukupi untuk membiayai 9.4 bulan import tertangguh dan 3.4 kali hutang luar jangka pendek, kata Bank Negara.

Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada tiga peratus pada suku keempat tahun lepas.

Pada paras OPR itu, kedudukan monetari terus menyokong aktiviti ekonomi, kata Bank Negara.

Jumlah pembiayaan kasar yang dikumpul oleh sektor swasta menerusi sistem perbankan dan pasaran modal meningkat kepada RM302.8 bilion pada suku keempat.

Mengenai ringgit, Bank Negara berkata pergerakan ringgit dan mata wang lain di peringkat serantau pada suku keempat dipacu oleh perkembangan luar.

Secara keseluruhannya, ringgit susut 0.7 peratus berbanding dolar US pada suku berkenaan, katanya.

Ringgit juga rendah berbanding pound sterling (-2.6 peratus) dan euro (-2.8 peratus) namun mengukuh berbanding yen Jepun (6.3 peratus).

Ringgit juga mencatatkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang serantau yang lain.

Antara 1 Jan dan 10 Feb, ringgit rendah berbanding dolar US sebanyak 1.5 peratus.

Ringgit juga rendah berbanding yen Jepun (-3.8 peratus), pound sterling (-1.1 peratus) dan euro (-0.2 peratus) dan beberapa mata wang lain di peringkat serantau.

Bank Negara berkata walaupun pasaran kewangan domestik dan global turun naik, selain persekitaran operasi yang mencabar, sistem kewangan domestik tetap berdaya tahan di sepanjang suku keempat.

Penilaian risiko ke atas kestabilan kewangan menunjukkan pengantaraan kewangan terus disokong baik oleh institusi kewangan yang kukuh, keadaan pasaran kewangan yang teratur dan keyakinan berterusan dalam sistem kewangan, kata bank negara.

Sistem perbankan juga memiliki kedudukan modal yang kukuh, katanya.

Mengenai masa depan, Bank Negara berkata ekonomi global dijangka meningkat sederhana.

Bank pusat itu berkata kemajuan dalam ekonomi maju juga positif bagi data antarabangsa.

Namun, ketidaktentuan dalam pelarasan monetari dan fiskal dalam ekonomi maju terus mendatangkan risiko kepada pertumbuhan.

Bagi ekonomi Malaysia, permintaan domestik terus menyokong pertumbuhan, kata Bank Negara.

Walaupun permintaan domestik dijangka susut berikutan penyepaduan fiskal semasa, sektor luar dijangka memperoleh manfaat daripada kedudukan ekonomi global yang meningkat, kata bank pusat itu.

Oleh itu, momentum pertumbuhan dijangkakan kekal dalam trajektori kukuh, katanya.

UTAMAEKONOMIEkonomi Malaysia Berkembang 5.1 Peratus Pada Q4 2013, 4.7 Peratus Setahun Penuh

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium