Emir Qatar melabur dalam 1MDB - pakdin.my

1mdb-pihak-berkuasa

Keputusan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani untuk melabur dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membuktikan syarikat itu mempunyai strategi perniagaan jangka panjang yang terbaik sehingga dapat meyakinkan pemerintah negara Arab itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keyakinan tersebut menunjukkan 1MDB mempunyai aset-aset yang bernilai tinggi dan memberikan keuntungan.

Justeru, beliau meminta semua pihak supaya memberi peluang kepada 1MDB untuk meneruskan pelan perniagaannya dan bukannya mengutuk syarikat tersebut sehingga menjejaskan keyakinan pelabur.

“Saya kata bagi tempoh enam bulan, insya-Allah hujung tahun ini selesai. Dalam perniagaan hutang adalah biasa dan kita mempunyai aset yang bernilai tinggi.

“Tetapi kalau berniaga kita kutuk (1MDB), orang akan hilang keyakinan. Saya baru jumpa Emir Qatar baru-baru ini, dia kata dia berminat untuk melabur dalam aset 1MDB.

“Kalau teruk sangat 1MDB dan duit RM42 bilion lesap, tuan-tuan ingat Emir ini nak melabur, dia nak melabur sebab dia tengok keuntungan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang dan Pemimpin Bersama Rakyat di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini hari ini.

Sementara itu, Najib yang juga Presiden UMNO menegaskan, beliau tidak melanggar undang-undang dan tidak merampas hak rakyat sebagaimana yang didakwa segelintir pihak tidak bertanggungjawab dalam isu dana politik sebanyak RM2.6 bilion.

Beliau yakin kebenaran akan muncul di sebalik pelbagai tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadapnya dalam isu 1MDB serta dana politik.

“Masalah dana politik tidak perlu orang lain tahu, yang penting saya tidak melanggar undang-undang dan merampas hak rakyat.

“Sedikit sebanyak kena ada wang untuk duit poket, makan minum dan poster tetapi bukan untuk membeli undi. Apa salahnya saya membantu parti untuk kemenangan,” katanya.

Katanya, negara dan UMNO menghadapi krisis yang lebih hebat pada 1987 dan 1997, namun semuanya dapat diselesaikan disebabkan ahli-ahli bersatu memberi sokongan kepada Perdana Menteri ketika itu.

“Kita pertahankan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu sebab itu kita selamat dan beliau menjadi Perdana Menteri selama 23 tahun.

“Sekarang kita sedang menghadapi sedikit masalah tetapi sudah ada orang hendak terjun dan hendak tebuk kapal, di mana kesetiaan kepada parti?” soalnya.

UTAMAEDITORIAL1MDBEmir Qatar melabur dalam 1MDB

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium