Empat gadis bawah umur antara 17 individu ditahan dalam Op Parti Liar - pakdin.my

Polis turut merampas alatan untuk menghisap syabu di dalam bilik tersebut

GEORGE TOWN — Polis menahan 12 lelaki dan lima perempuan termasuk empat remaja bawah umur sedang leka berpesta dadah di dalam dua buah bilik di sebuah hotel di Bukit Jambul, Jalan Bukit Gambir di sini, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata pihaknya menjalankan Op Parti Liar selepas menerima maklumat berhubung kegiatan dadah sebelum menyerbu sebuah bilik di hotel itu kira-kira pukul 2.30 pagi.

“Dalam serbuan pertama, polis menahan enam lelaki dan empat perempuan yang berada di dalam bilik itu dan kami menjumpai lapan paket syabu seberat 15.06 gram (g) dan satu paket ketamin (6.86 g) yang kedua-duanya bernilai RM3,288 “ katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata semua dadah itu ditemui di atas meja makan dan polis turut merampas alatan untuk menghisap syabu di dalam bilik tersebut.

Menurutnya, polis menyerbu bilik kedua yang terletak di tingkat sama selepas menahan seorang lelaki di kawasan kolam renang hotel itu kira-kira pukul 3.45 pagi sebelum mendapati ada lima lelaki dan seorang perempuan di bilik tersebut.

Che Zaimani berkata polis merampas satu paket ketamin seberat 0.69g dan sebiji pil ekstasi bernilai RM130 di atas rak televisyen di dalam bilik hotel tersebut.

“Semua mereka yang ditahan itu berusia 16 hingga 31 tahun dan siasatan mendapati empat remaja bawah umur berkenaan sudah tidak bersekolah. Masing-masing yang ditahan itu bekerja kilang, penarik kereta, kontraktor, kargo, kedai pakaian, jurujual dan bekerja sendiri,” katanya.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati 11 lelaki serta tiga perempuan positif pelbagai jenis dadah dan siasatan lanjut masih dijalankan menurut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Difahamkan semua mereka dikenakan sejumlah bayaran untuk menyertai parti dadah anjuran seorang daripada suspek yang ditahan itu dan mereka mendapat maklumat berhubung penganjuran tersebut menerusi mesej di aplikasi media sosial daripada rakan masing-masing. ― Bernama

UTAMABERITAEmpat gadis bawah umur antara 17 individu ditahan dalam Op Parti Liar

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium