Ensiklopedia UMNO elak sejarah pembinaan negara diubah - pakdin.my

UMNO akan mendokumentasikan sejarah penubuhan, peranan dan sumbangannya kepada rakyat di negara ini sepanjang mentadbir kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Shamsul Annuar Nasarah berkata, sepanjang lebih 70 tahun memerintah, UMNO dan BN bukan sahaja menyumbangkan khidmat dan pembangunan sosio-ekonomi kepada orang Melayu malah turut dinikmati pelbagai kaum.

Beliau menjelaskan, penulisan dalam bentuk ensiklopedia itu akan mendokumentasi setiap usaha UMNO dan BN tanpa tertinggal walau satu usahapun agar sejarahnya tidak boleh diubah oleh mana-mana pihak.

“UMNO dan BN yang membina negara ini dari sebelum sehingga merdeka. Seluruh rakyat termasuk orang Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain yang menghuni tanah air ini menikmati arus kemajuan dan pembangunan itu.

“Kita merasakan ensiklopedia UMNO ini sangat penting untuk dijadikan rujukan oleh generasi akan datang,” katanya pada majlis pelancaran Penulisan Ensiklopedia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU2019) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara Shamsul Annuar dengan Sejarawan ulung, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam.

Menurut Ahli Parlimen Lenggong itu, hasil kebijaksanaan UMNO menerajui BN dalam pemerintahan selama ini, telah menyaksikan penyatuan orang Melayu dan pelbagai kaum di negara ini dengan harmoni dana man.

“Jasa UMNO juga telah memberi rahmat kepada bangsa lain yang sama-sama menghuni tanah air ini,” katanya.

Beliau berkata, parti itu melalui sejarah cukup panjang sehingga akur dengan kekalahannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu kepada Pakatan Harapan (PH).

“Titik hitam ini menyaksikan UMNO dan BN hilang kuasa, tetapi kekalahan itu tidak boleh dijadikan sebab untuk kita melupakan sejarah dan peranan parti yang cukup besar dalam membina negara ini.

“Lebih 70 tahun UMNO membina negara ini, sebab itu semua sejarah dan jasanya tidak boleh dilupakan begitu sahaja dan tiada siapa boleh mengubahnya,” katanya.

UTAMAPOLITIKEnsiklopedia UMNO elak sejarah pembinaan negara diubah

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium