EXCO Kedah angkat sumpah Isnin ini - pakdin.my

jemaah-pemangku-sultan-kedah

ALOR SETAR: Tanda tanya mengenai senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Kedah, yang berkemungkinan besar bakal dirombak, dijangka terjawab Isnin ini. Ini susulan satu jemputan majlis angkat sumpah yang diedarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri.

Majlis itu dijadual berlangsung di Istana Anak Bukit, di sini. Berdasarkan jemputan itu, majlis terbabit dijadual diadakan di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit pada jam 10 pagi Isnin ini, dengan barisan EXCO akan mengangkat sumpah di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Beberapa EXCO kerajaan negeri ketika dihubungi mengesahkan mengenai kesahihan jemputan itu.

Antaranya, Datuk Tajul Urus Mat Zain (Pengangkutan, Pendidikan dan Perumahan), Datuk Norsabrina Mohd Noor (Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi serta Sumber Maklumat) dan Datuk Mohd Tajuddin Abdullah (Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan). Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada akan berlaku perubahan atau rombakan dalam senarai barisan EXCO, mereka enggan mengulas.

Sebelum ini, timbul andaian kemungkinan berlaku rombakan dalam senarai EXCO kerajaan negeri susulan pelantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipa sebagai Menteri Besar ekoran peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, pada 3 Februari lalu.

Berdasarkan desas-desus, beberapa EXCO dijangka digugurkan dan spekulasi kuat bertiup mengatakan sekurang-kurangnya tiga EXCO yang ‘setia’ kepada kepemimpinan Mukhriz berdepan risiko untuk diganti.

Selain Norsabrina, dua EXCO terbabit ialah Datuk Aminuddin Omar (Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan) serta Datuk Suraya Yaacob (Pembagunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Wanita).

UTAMAPOLITIKEXCO Kedah angkat sumpah Isnin ini

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium