Fadhilah Abdul Rahman terima biasiswa berprestij Lee Kuan Yew; lanjut pengajian di Oxford

SINGAPURA: Gred yang diraih semasa menuntut di Universiti Nasional Singapura (NUS) “tidak seberapa”. Ijazah yang akhirnya diraih pada 2014 pula kepujian kelas kedua (rendah) – suatu pencapaian yang disifatkannya sebagai kurang memuaskan.

Siapa sangka, tujuh tahun kemudian, Cik Fadhilah Abdul Rahman Zamawi akan melanjutkan pengajian sarjana di Universiti Oxford – iaitu institusi terkemuka Britain yang menduduki ranking kelima terbaik dalam QS Global World Rankings 2021.

Perjalanan baru Cik Fadhilah kini menjadi lebih manis lagi selepas beliau baru-baru ini dinamakan sebagai salah satu daripada tiga penerima Biasiswa Lee Kuan Yew tahun ini.

Biasiswa berprestij itu mengiktiraf individu berjiwa masyarakat dan sekali gus menyokong usaha mereka untuk melanjutkan pengajian di peringkat possiswazah.

Para penerima mendapat elaun tahunan S$50,000 (bagi penerima dari sektor swasta) dan S$10,000 (jumlah sekali sahaja bagi penerima dari sektor awam).

BAGAIMANA FADHILAH DAPAT MASUK OXFORD & TERIMA BIASISWA?

Sejujurnya Cik Fadhilah “terkejut tetapi gembira” apabila mendapat khabar beliau mendapat tempat bagi program sarjana dalam jurusan Dasar Awam di Universiti Oxford.

“Saya rasa mereka melihat lebih kepada pengalaman kerja daripada prestasi akademik,” kata wanita berusia 30 tahun yang belum lagi mendirikan rumah tangga itu.

Dan ternyata… portfolionya cukup luar biasa.

Sebaik sahaja meraih ijazah sarjana muda, Cik Fadhilah mendapat pekerjaan di sebuah syarikat perundingan global, McKinsey & Company.

Beliau bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan sektor awam bagi pelbagai urusan yang mencakupi bidang pendidikan, pelaburan, penerbangan mahupun pelancongan sepanjang berkhidmat selama lima tahun di perusahaan tersebut.

Bekas pelajar Maktab Rendah Raffles itu kemudian menggalas tanggungjawab lebih besar dan lebih bermakna di sebuah pertubuhan global yang tidak meraih keuntungan, Generation.

Beliau menjadi pengurus perkongsian pada peringkat serantau bagi usaha-usaha merubah sistem pendidikan dan pekerjaan untuk menyokong individu mengatasi cabaran menukar kerjaya.

Tuntutan tugasnya ini memerlukan Cik Fadhilah memastikan sektor awam, swasta dan sosial menjalin kerjasama demi menawarkan peluang-peluang pekerjaan yang baru.

“Kita kadang-kadang tidak sedar, bagaimana institusi dan dasar pemerintah mempengaruhi kehidupan seharian kita. Saya telah melihat ini secara langsung dalam sektor-sektor pendidikan dan kemahiran,” kongsinya.

GERAKKAN USAHA BERI 1,000 RAKYAT S’PURA PELUANG PEKERJAAN

Salah satu projek yang baru-baru ini dikendalikan Cik Fadhilah adalah #GetReadySG yang dilancarkan pada Disember 2020.

Di bawah inisiatif itu, syarikat Microsoft berganding bahu dengan pihak berkuasa untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada sehingga 1,000 rakyat Singapura sebagai sebahagian daripada Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited.

Tanpa Cik Fadhilah, usaha itu mungkin tidak dapat dijalankan. Ini kerana, beliaulah “orang tengah” yang menghubungkan Microsoft kepada badan-badan pemerintah.

“Disebabkan COVID ini, tidak mudah bagi organisasi ataupun Microsoft untuk mencari pekerja. Dan sekarang kerana sempadan juga ditutup, mereka tidak dapat sumber daya tenaga dari negara lain. Jadi mereka pun mahukan kemahiran untuk rakyat Singapura sendiri,” jelas Cik Fadhilah.

“Saya (dan syarikat) memperhalusi idea mereka lalu pergi ke satu-satu badan Pemerintah supaya mereka memberi dana ataupun sumber daya dalam inisiatif yang penting ini.”

Badan-badan Pemerintah yang didekati Cik Fadhilah termasuklah Lembaga Kemajuan Ekonomi, Penguasa Pembangunan Infokom Media dan SkillsFuture.

“Sebagai satu pertubuhan kecil, kami tidak dapat mendekati sebanyak atau seramai orang. Jadi kami ingin bekerjasama rapat dengan mereka, untuk mendapatkan lebih ramai orang dalam inisiatif ini,” kata Cik Fadhilah.

AKTIF SEBAGAI SUKARELAWAN MENDAKI

Di luar kesibukannya, anak ketiga dari empat beradik itu turut aktif sebagai seorang sukarelawan MENDAKI.

Sejak 2018, Cik Fadhilah mengatur program-program pendidikan bagi para pelajar menengah Melayu/Islam di bawah Kelab Muda MENDAKI (YMC).

Tahun ini, di bawah pimpinannya, YMC malah mengorak langkah baru apabila ia buat julung-julung kalinya menjalin kerjasama dengan dua madrasah tempatan untuk menyediakan bimbingan kerjaya kepada para pelajar.

Jumlah pelajar yang menyertai insiatif YMC pada tahun ini sahaja melebihi 200 orang.

Bayangkan… berapa ramai agaknya yang sudah meraih manfaat daripada titik peluh Cik Fadhilah yang bagaikan tidak mengenal erti penat lelah?

MULA PENGAJIAN SEP, PILIH DASAR AWAM KERANA…

Ditanya BERITAmediacorp mengapa beliau memutuskan untuk mengikuti program possiswazah selepas tujuh tahun bekerja, Cik Fadhilah memberi bayangan beliau ingin menukar kerjaya.

“Dua tahun lalu, saya berjumpa seorang individu yang sedang mengikuti program sarjana di Harvard. Dia memberi saya inspirasi kerana dia bertukar kerjaya selepas itu. Saya ingin melakukan sesuatu seperti itu,” katanya.

“Tetapi saya tidak ada rancangan yang pasti. Saya memerlukan masa untuk ‘take a step back’ (berhenti sejenak lalu fikirkan) dan belajar tentang bidang lain sebelum membuat keputusan.”

Ditanya mengapa beliau memilih bidang Dasar Awam pula, ini jawapan Cik Fadhilah:

“Saya mahu memahami dengan lebih mendalam tentang bagaimana saya boleh menjadi lebih berkesan untuk memastikan huraian Pemerintah sesuai dengan apa yang rakyat inginkan atau perlukan. Dan saya fikir, penting untuk saya mendapat pendedahan antarabangsa. Ini akan membolehkan saya mendapat pandangan yang lebih luas.”

Cik Fadhilah akan terbang ke Britain pada September untuk mula menjalani program sarjana di Oxford selama setahun.

– BERITAmediacorp/aq

Berkaitan