Fenomena Cabar Autoriti Perlu Difahami Dengan Bijak: Sultan Perak - pakdin.my

Sultan Perak Sultan Azlan Shah bertitah fenomena mencabar autoriti yang kini menjadi norma dalam budaya hidup generasi muda baru di negara ini perlu difahami serta ditafsirkan dengan bijak supaya dapat menggubal langkah-langkah untuk menghadapinya.

Baginda bertitah kegagalan memahami senario itu secara tepat dan ditafsirkan secara bijak akan mencetuskan konflik antara organisasi yang melambangkan autoriti dengan konstituen yang dipertanggungjawabkan kepada pasukan polis.

“Pasukan (polis) kini berada dalam era yang memerlukan kebijaksanaan mengimbangkan antara tugas menguatkuasakan undang-undang dengan tuntutan pihak awam yang mempercayai mereka memiliki hak-hak tertentu menurut Perlembagaan dan undang-undang negara,” titah baginda.

Titah baginda pada masa yang sama individu dan organisasi yang berhasrat memperjuangkan sesuatu isu turut mempunyai tanggungjawab terhadap negara dan masyarakat.

Mereka turut mempunyai tanggungjawab sosial dan undang-undang untuk bersifat adil kepada pasukan polis serta terhadap negara, titah baginda.

Sultan Azlan bertitah peraturan dan undang-undang yang digubal bertujuan menjamin wujudnya keharmonian dalam kehidupan harian rakyat oleh itu adalah penting jalinan persefahaman dan kerjasama antara jentera kerajaan dan rakyat serta pentingnya sikap menghormati undang-undang.

Baginda bertitah masyarakat di era pada masa sekarang adalah berbeza dengan masyarakat pada era pra dan pasca merdeka.

“Masyarakat kini sedang melalui proses perubahan yang berlaku pada kadar yang sangat pantas dan tuntutan untuk melakukan perubahan juga semakin bertambah. Tuntutan melakukan penambahbaikan adalah lumrah apatah lagi apabila masyarakat bertambah celik, terpelajar, maju dan terdedah,” titah baginda.

Titah baginda, tuntutan kepada penambahbaikan yang sedang dihadapi merupakan satu cabaran kepada mana-mana pihak berkuasa dan mana-mana kerajaan di dunia.

Ia memerlukan kebijaksanaan pihak berkuasa dan kerajaan untuk menilai, mentafsir dan memahami situasi yang sedang berlaku, titah baginda.

UTAMABERITAFenomena Cabar Autoriti Perlu Difahami Dengan Bijak: Sultan Perak

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium