Feri Langkawi berasap cetus cemas 400 penumpang - pakdin.my

feri-langkawi-berasap

LANGKAWI: Perbuatan tidak bertanggungjawab perokok membuang puntung rokok yang masih menyala menimbulkan kelam-kabut di kalangan lebih 400 penumpang sebuah feri yang terpaksa belayar dengan diselubungi asap antara Pulau Langkawi dan Kuala Kedah pada Ahad.

Sungguhpun si pelaku itu belum dikenal pasti, difahamkan puntung rokok yang tidak dipadamkan sepenuhnya itu membakar tempat duduk tandas di dalam feri terbabit sebelum feri dua tingkat itu diselubungi asap berkepul-kepul.

Seorang penumpang, Hamzah Osman, 52, berkata insiden itu berlaku kira-kira 12.35 tengah hari selepas feri berkenaan meninggalkan Jeti Kuah di sini menuju Kuala Kedah, kira-kira 57 km dari sini.

“Hanya kira-kira 20 minit selepas kami meninggalkan Jeti Kuah, asap mula menyelubungi feri ini dan tidak lama kemudian, kru feri memberitahu kami supaya memakai jaket keselamatan.

“Saya dapat lihat mereka bersiap-sedia untuk berdepan perkara yang kurang menyenangkan. Mujurlah mereka berjaya mengawal keadaan,” katanya ketika dihubungi.

Hamzah, yang disertai isteri, anak dan cucu di dalam feri itu, berkata feri berkenaan sarat dengan penumpang tempatan serta pelancong asing yang dalam perjalanan ke tanah besar selepas bercuti di pulau peranginan ini.

Beliau berkata sebaik sahaja kru berjaya mengawal keadaan, feri itu kembali ke Jeti Kuah sebelum penumpangnya dipindahkan ke sebuah feri lain untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Kedah.

Sementara itu, pengusaha feri berkenaan tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan.

Perkhidmatan feri adalah antara kaedah yang digunakan untuk melakukan perjalanan antara Pulau Langkawi dan tanah besar Semenanjung, selain menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur dan destinasi lain.

UTAMABERITAFeri Langkawi berasap cetus cemas 400 penumpang

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium