Fitnah punca rakyat menghukum

Penyebaran fitnah berleluasa dengan tujuan menanam perasaan kebencian mendalam terhadap kerajaan dan negara sedikit sebanyak membuatkan segelintir masyarakat cenderung kepada pegangan prinsip `bersalah sehingga dibuktikan tidak bersalah.’

jkkkp-selangor-infra

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan, senario itu hanya berlaku di negara ini kerana didapati rakyat masa kini mudah termakan fitnah pembangkang seterusnya menghukum serta membenci kerajaan, pemimpin dan negara sehingga tidak mahu menerima penjelasan selain hasil siasatan badan berkelayakan.

“Macam mana kita boleh buat kesimpulan sama ada salah atau tidak, sedangkan siasatan (1Malaysia Development Berhad (1MDB)) belum lagi selesai, malah kalau seorang penagih dadah itu ditahan polis dengan bukti kukuh, namun dia masih lagi tetap dianggap tidak bersalah selagi mahkamah belum memutuskan bahawa dia bersalah.

“Cuma di Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menukar prinsip ‘bersalah sehingga dibuktikan tidak bersalah’ sedangkan di seluruh dunia menggunakan ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’, ini tidak adil kepada kerajaan dan merugikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada majlis Ramah Mesra Bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Selangor di Institut Kemajuan Desa (Infra), Bangi, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim, ADUN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz, ADUN Batang Kali, Mad Nadzari Ahmad, Setiausaha Bahagian Kanan Khidmat Pengurusan KKLW, Jamalludin Kasbi dan Pegawai Kemajuan Negeri PPPN Selangor, Datuk Mohd Rosli Ramli.

Jelas Ismail Sabri, demi memperlihatkan ketelusan, diharapkan orang ramai dapat bersabar menanti keputusan hasil siasatan berhubung 1MDB yang dijangkakan selesai menjelang hujung tahun ini.

“Kita serahkan kepada Ketua Peguam Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan tugas mereka, kecuali kita tidak mengambil apa-apa tindakan untuk siasat 1MDB,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyarankan supaya 225,000 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan JKKKP di seluruh negara untuk membantu kerajaan menangkis segala fitnah sekali gus menjelaskan perkara sebenar khususnya di peringkat akar umbi.

“JKKK dan JKKKP seharusnya memainkan peranan supaya mereka dapat menjawab segala isu yang disebarkan, seperti dalam ikrar mereka untuk mempertahankan kerajaan hari ini, ikrar mereka itu perlu diterjemah dengan menoktahkan segala fitnah yang disebarkan pembangkang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya akan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi JKKK dan JKKKP untuk mendaftarkan pengundi baharu di kawasan masing-masing.

“Perkara (KPI) ini akan dibincangkan dengan pihak kementerian dan kemudian bersama Pengerusi Perhubungan UMNO di seluruh negara,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini