26.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, March 7, 2021

Gambar lama usung keranda rentas daerah di Sungai Choh tular semula

Gambar beberapa orang mengusung keranda melepasi batu penghadang jalan didirikan di Kilometer 20, Jalan Rawang–Sungai Choh bukan kejadian baharu, sebaliknya sudah ditularkan beberapa kali di media sosial.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menyedari gambar itu tular semula hari ini dan mendapati gambar sama pernah tular pada 30 Januari dan 3 Februari lalu.

Menurutnya, sebagai makluman, batu penghadang itu dipasang pada 13 Januari lalu di sempadan daerah Gombak dan Hulu Selangor apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan.

“Ia bertujuan menyekat pergerakan rentas daerah di kawasan itu dan salah satu inisiatif memutuskan rantaian jangkitan Covid 19.

“Pengguna jalan raya sudah dimaklumkan supaya menggunakan jalan alternatif iaitu Rawang Bypass,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arifai berkata, ketika PKP 1.0, batu penghadang sama pernah didirikan di lokasi itu dan dibuka semula apabila PKPB dilaksanakan.

Beliau berkata, orang ramai diminta bekerjasama dan bersabar dalam situasi sukar berdepan Covid-19 ketika ini.

“Batu penghadang itu akan dibuka apabila pergerakan rentas daerah dibenarkan semula,” katanya.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.