Gawai tiada makna lagi – 200 penghuni terjejas Rumah Suhan Anji musnah dalam kebakaran - pakdin.my

MUSNAH: Kelihatan seorang anggota bomba mengawal kebakaran Rumah Suhan, Sungai Sengan, petang semalam. (Gambar kanan) Kelihatan beberapa orang penduduk Rumah Suhan tidak dapat menahan kesedihan selepas rumah panjang mereka musnah dalam kebakaran itu.

SIBU: Kemeriahan sambutan Gawai Dayak yang diraikan sejak seminggu lepas, tidak bermakna lagi bagi kira-kira 200 penghuni sebuah rumah panjang di Sungai Sengan, Durin selepas rumah panjang mereka hangus dalam kebakaran, petang semalam.

Rumah panjang terbabit, Rumah Suhan Anji, terletak kira-kira 34 kilometer dari sini, musnah terbakar dalam kejadian pada kira-kira jam 1 petang.

Menurut Tuai Rumah Suhan, 60-an, tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian terbabit.

“Buat masa ini, kami akan tinggal dengan saudara-mara berdekatan sementara selebihnya akan berteduh di pondok sementara,” ujarnya kepada pemberita.

Suhan percaya, kebakaran bermula dari salah satu pintu rumah panjang terbabit, namun tidak pasti punca sebenar yang menyebabkan insiden tersebut.

“Kebanyakan penduduk hanya dapat menyelamatkan sedikit harta benda dari rumah masing-masing memandangkan api merebak dengan begitu cepat,” jelas beliau dengan nada sedih.

Difahamkan, tiga buah motosikal dan sebuah kereta turut musnah dalam kejadian membabitkan rumah panjang yang dibina pada zaman Jepun itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Sentral Sibu, Abdul Mutalif Jaafar memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 1.12 petang sebelum menghantar 22 anggota ke tempat kejadian.

Katanya, dua jentera dikerahkan dari Balai Bomba Sentral serta ma-sing-masing satu jentera dari Balai Bomba Sungai Merah dan Balai Bomba Kanowit.

“Kita dapat mengawal kebakaran dengan cepat memandangkan terdapat bekalan air mencukupi dari dua pili bomba dan kolam ikan berhampiran,” ujarnya.

Residen Bahagian Sibu, Sim Kok Kee pula memberitahu, Bulan Sabit Merah (BSM) telah menghantar selimut dan pakaian terpakai kepada mangsa.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan memberikan ban-tuan makanan kepada mangsa,” jelas Sim sambil menambah, badan bukan kerajaan akan turut menghulurkan bantuan seperti air minuman, biskut dan roti.

UTAMABERITAGawai tiada makna lagi - 200 penghuni terjejas Rumah Suhan Anji musnah...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium