Gempa Lombok: 30 minit awal menyelamatkan saya, kata mangsa - pakdin.my

KUALA LUMPUR — Sebaik tiba di ruang menunggu balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), tepat pukul 4.15 petang, Ong Lee Jye, 56 tidak dapat menyembunyikan riak wajahnya yang kelihatan lega dan bersyukur terselamat daripada kejadian gempa bumi di Lombok Timur, Ahad lepas.

Ong yang berkerusi roda akibat kecederaan di buku lali telahpun menjalani pembedahan kecil di sana dan akan pulang terus ke Ipoh hari ini.

Menceritakan detik cemas itu, Ong bekata dia bernasib baik kerana naik ke darat 30 minit lebih awal dari rakan-rakannya dan memerhatikan sahaja mereka mandi-manda di bawah air terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Utara.

“Mula-mula saya terasa gegaran, kemudian lihat batu-batu mula jatuh dengan bunyi yang kuat. Saya dan suami berlari sekuat tenaga tanpa menyedari kaki telah pun cedera ditimpa batu kecil. Tiga puluh minit itu menyelamatkan saya,” katanya yang mengikuti percutian bersama 28 orang rakan-rakan persekolahan dari Sekolah Kebangsaan (C) Jementah, Segamat Johor yang dikenalinya sejak kecil.

Turut sama ialah suaminya Phang Kim Foo, 56, yang juga pernah belajar di sekolah rendah yang sama.

Pasangan itu jelas kelihatan masih trauma dan bersedih dengan kehilangan dua rakan baik mereka.

Ketibaan pasangan itu disambut oleh empat orang rakan persekolahan yang datang dari Shah Alam bagi memberikan sokongan semangat kepada rakan mereka yang selamat tiba dari Lombok petang tadi.

Dalam kejadian gempa bumi itu dua orang warganegara Malaysia terbunuh, tujuh orang mengalami kecederaan dan empat daripadanya masih lagi menerima rawatan di hospital, manakala 13 orang terselamat.

Kesemua 22 warga Malaysia itu dilaporkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru ketika gempa berukuran 5.8 pada skala Richter menggegarkan Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia. — Bernama

UTAMABERITAGempa Lombok: 30 minit awal menyelamatkan saya, kata mangsa

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium