Genting Highlands dilanda banjir kilat [Video]

GENTING HIGHLANDS – Pengunjung pusat peranginan tanah tinggi Genting Highlands gempar apabila kawasan itu dilanda banjir kilat, petang tadi.
Beberapa laluan di kawasan itu termasuk sekitar kawasan Genting Highlands Premium Outlet dilimpahi air yang mengalir turun dari kawasan bukit akibat hujan lebat.

Kejadian yang dipercayai berlaku petang tadi sempat dirakam pengunjung sebelum klip video berkenaan dikongsi melalui media sosial.

Pemilik Facebook Fyra Anura dan Ang How Koo (Buku Geografi) turut berkongsi video kejadian yang menunjukkan beberapa laluan terjejas apabila air dari kawasan lebih tinggi mengalir deras ke kawasan lebih rendah.

Keadaan itu menyebabkan beberapa kenderaan yang diletakkan di tepi laluan terperangkap dalam arus deras berkedalaman kira-kira 0.2 meter.

Bagaimanapun masa sebenar kejadian dan tempoh limpahan air itu berlaku tidak dapat dipastikan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusof berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (Mers 999) Bentong telah berhubung dengan Balai Polis Genting namun setakat ini tiada laporan berhubung kejadian diterima.

Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian esok.
Pihak bomba juga memaklumkan tidak menerima laporan tentang kejadian tersebut.

LIHAT VIDEO: https://youtu.be/p2Dzz3mDT9g

Loading...