Goh Liu Ying nafi ganggu rumah tangga orang, kekal fokus latihan ke Olimpik

Pemain badminton negara Goh Liu Ying menafikan dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan individu berstatus suami orang.

Liu Ying, 31, berkata tuduhan itu tidak berasas dan akan mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara tersebut.

“Semua khabar angin baru-baru ini yang berlegar di internet tidak berasas. Saya tidak bersalah dan dakwaan palsu ini memberi kesan kepada orang sekeliling saya.

“Saya boleh mengesahkan saya tidak mengganggu atau terlibat sebagai pihak ketiga dalam perkahwinan orang lain.

“Saya sedang mendapatkan nasihat guaman dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyerang saya,” katanya di media sosial, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial kononnya atlet itu mempunyai hubungan istimewa bersama individu berstatus suami orang.

Terdahulu, Liu Ying mengakui sedang mempersiapkan diri untuk kejohanan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Latihan badminton saya diteruskan dan saya tidak akan membiarkan apa-apa sahaja mengganggu impian saya dan negara.

“Ringkasnya saya mahu menghentikan semua spekulasi ini dan memohon sokongan peminat dalam mengejar impian kita,” katanya lagi.