Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengkaji semula hubungannya dengan Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata sekarang ini status GPS ialah rakan dalam PN, bukan ahli komponen gabungan itu.
Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, pendirian GPS dalam hal itu akan diumumkan tidak lama lagi.
Dalam ucapannya pada Lawatan Kerja Ke Lubok Antu, di sini, hari ini, Abang Johari berkata, GPS akan membuat keputusan mengenai hubungan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan, tidak lama lagi.
Beliau berkata, GPS lebih selesa untuk hanya menjadi rakan PN, bukannya menjadi ahli gabungan parti pemerintah itu.
“GPS hanyalah rakan PN, kita bukan sebahagian daripada ahli PN,” katanya.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kenyataan itu pada sidang media, selepas program berkenaan.
Abang Johari berkata, dasar bebas yang diamalkan GPS dalam usaha membangunkan Sarawak ketika ini, membolehkan pembangunan dilaksanakan mengikut kehendak sendiri.
“Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetap kita perjuangkan. Dan, saya yakin bahawa tidak lama lagi kita akan membuat keputusan mengenai perhubungan negeri kita dalam Kerajaan Persekutuan,” katanya.