GST diakui sistem percukaian efisien, telus – Anwar

Tanpa ragu-ragu GST boleh dianggap sebagai sistem cukai yang lebih efisien dan telus

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini sebagai efisien dan telus.

Beliau bagaimanapun berkata, sebelum ia diperkenalkan semula, kerajaan perlu mengambilkira kesediaan rakyat khususnya yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM1,500 untuk menerima polis percukaian itu.

“Tanpa ragu-ragu GST boleh dianggap sebagai sistem cukai yang lebih efisien dan telus. Tidak boleh diragui.

“Sama ada negara bersedia khususnya oleh golongan yang berpendapatan rendah boleh menerima polisi percukaian itu.

“Kita kena sedar apabila kita laksanakan (GST) adakah ia adil kepada kumpulan berpendapatan rendah dan miskin,” katanya pada Persidangan Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedia untuk mengkaji cadangan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) untuk mengembalikan semula GST sekiranya ia kehendak rakyat.

Terdahulu, Pengerusi MIER, Tan Sri Dr. Kamal Salih berharap kerajaan  memperkenalkan semula GST dalam Belanjawan 2020 untuk menutup jurang kewangan kerajaan.

Menurut Kamal, cukai kepenggunaan itu adalah sistem percukaian yang adil dan cekap, berbanding sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menurut Anwar, buat masa kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan ia perlu dilaksanakan beberapa tahun dahulu sebelum menukar sistem percukaian lain.

“Buat masa sekarang, lebih baik kita teruskan SST, tambah baik, buat reformasi apa yang perlu dan beri pertimbangan beberapa tahun sebelum kita tukar sistem cukai.

“Kita boleh tengok enam bulan lalu bila SST dilaksanakan keadaan agak kelam kabut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Loading...