Guru Besar Hilang: Suami Yakin Jashiah Masih Selamat - pakdin.my

guru-besar-hilang-kuala-kubu-bharu-yakin-ditemui

KUALA KUBU BAHARU: Naluri Ruzilan Omar yakin menyatakan isterinya yang juga guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Keramat, Jashiah Rabu yang hilang sejak 12 hari lepas di Taman Seruling di sini, masih selamat.

Ruzilan, 57, berkata ia berikutan penemuan kesan tapak kaki manusia di kawasan berhampiran tebing sungai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam yang memberi harapan isterinya masih berada di sekitar hutan itu.

“Saya difahamkan mereka tidak pasti sama ada kesan tapak kaki Jashiah atau penduduk Orang Asli namun saiz tapak kaki itu menyamai kesan tapak yang ditemui Khamis lepas.

“Kami sekeluarga tidak mempunyai masalah dengannya mahupun sebarang perselisihan faham sebelum dia menghilangkan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat operasi di sini Selasa.

Katanya Jashiah, 53, juga sering termenung sebelum hilang selain kerap berhalusinasi seolah dirinya diancam bahaya akibat kemurungan yang dialaminya sejak menghidapi penyakit kanser yang hampir memasuki tahap kedua.

“Mungkin dia ada terasa hati dengan kata-kata saya kerana dia cepat tersentuh sejak akhir-akhir ini.

“Saya sebagai suami yang menyayanginya sangat sedih dan berharap dia ditemui segera,” katanya.

Sementara itu, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sungai Perak, Bidor Koperal Mustafa Hussin mendakwa beliau bersama pasukan SAR menemui kesan tapak kaki serta beberapa barangan yang dipercayai digunakan Jashiah di Sungai Selangor pada 12.30 tengah hari Isnin.

Menurutnya sebelum itu beliau menemui berus gigi, sepasang telekung berserta biskut di tebing sungai berkenaan yang terletak kira-kira 800 meter dari pusat operasi pada Ahad lepas.

“Ada orang yang melarikan diri dan menyorok apabila menyedari kehadiran pasukan kami ketika itu.

“Semalam pula saya menemui kesan tapak kaki dan sebatang lilin serta biskut yang diambil dari bekalan makanan yang ditinggalkan pasukan SAR di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau yang sempat merakamkan gambar semua penemuan terbabit melalui telefon pintar mendakwa turut menemui najis manusia pada Selasa kira-kira 80 meter dari kesan tapak kaki yang ditemui pada Isnin.

“Namun siasatan ke atas semua penemuan menunjukkan hasil negatif. Kita mengalami kesukaran menemui mangsa kerana hutan belukar mempunyai keadaan semula jadi yang memudahkan seseorang untuk menyembunyikan diri,” katanya yang berpengalaman empat tahun mencari orang hilang.

Jashiah kali terakhir dilihat jirannya keluar dari rumahnya pada petang 23 Oktober  lepas dan apabila suaminya pulang didapati pintu rumah mereka terbuka dan Jashiah tiada di rumah.

Difahamkan, Jashiah menghala ke kawasan hutan simpan Bukit Kutu selepas keluar dari rumahnya di Taman Seri Seruling dengan berjalan kaki dan menumpang kereta orang lain sejauh kira-kira 10 kilometer.

UTAMAPOLITIKGuru Besar Hilang: Suami Yakin Jashiah Masih Selamat

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium