Hadi perlu perbetulkan keadaan - pakdin.my

Amanat karut Hadi Awang untuk kepentingan politik
Amanat karut Hadi Awang untuk kepentingan politik

PERPECAHAN masyarakat yang amat dahsyat rentetan Amanat Haji Hadi melatari kehidupan kanak-kanak dan remaja saya di Kampung Darau yang terletak di Besut, Terengganu.

Amanat itu menyebabkan majlis kenduri perkahwinan kakak sulung saya pada 1985 diboikot oleh saudara terdekat dengan alasan sembelihan orang UMNO haram dimakan.

Saya juga pernah membaca surat daripada seorang sahabat kakak kedua saya yang merintih dia dinikahkan dua kali. Kali pertama oleh imam kerajaan dan kali kedua oleh imam Pas lantaran fahaman politik keluarga yang berbeza.

Jika sama-sama keluarga Pas pula, pengantin tetap dinikahkan dua kali. Kali pertama mereka akan dinikahkan imam kerajaan bagi memenuhi formaliti untuk mendapatkan sijil nikah.

Bab kematian juga tidak terkecuali. Jika si mati orang Pas, hanya puak-puak mereka yang menguruskan jenazah. Peliknya masih dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan orang UMNO yang telah ?dikafirkan? mereka.

Bukankah tidak masuk akal apabila mereka sanggup mengkebumikan jenazah seorang Islam di tanah perkuburan ‘bukan Islam’.

Kini, kisah-kisah yang menghina kewarasan akal itu hanya tinggal kenanagan, ia tidak lagi belaku di kampung saya. Perkara yang dahulunya haram kini telah menjadi halal!

Cuma yang sukar dihapuskan adalah dua solat Jumaat dalam satu kariah. Pada setiap hari Jumaat sejak di bangku sekolah rendah hingga ke universiti, saya terpaksa melintasi markas Pas yang dijadikan tempat solat Jumaat dalam perjalanan ke masjid utama.

Pada 1999 selepas Pas menguasai kerajaan negeri Terengganu, masalah dua solat Jumaat di kampung saya sebenarnya hampir berjaya diselesaikan. Memandangkan secara teknikalnya masjid utama yang dahulunya dilabel masjid UMNO telah menjadi masjid Pas, penyokong parti itu merasakan sudah tiba masanya untuk mereka ‘berpindah’.

Bagaimanapun fahaman Amanat Haji Hadi masih tebal apabila mereka tidak rela menjadi makmum kepada dua imam asal di masjid utama. Lantaran itu, mereka mencetuskan idea supaya imam baru dilihat berkecuali dilantik. Maka bapa saya, Hasam Saleh ditawarkan jawatan imam oleh Oleh Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) dengan ‘ugutan’ jika tidak terima, dua imam asal itu akan ditamatkan perkhidmatan.

Pemilihan bapa saya dibuat kerana dia yang sebelum itu memegang jawatan Timbalan Ketua Cawangan UMNO telah mengugurkan keahlian dengan kaedah teknikal apabila tidak membayar yuran keahlian, selain tidak menghadiri mesyuarat cawangan gara-gara bersimpati dengan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Barangkali mereka merasakan bapa saya sudah ‘kembali Islam’ selepas tidak bersama UMNO walaupun dia tidak pernah mengisi borang keahlian Pas. Sebagai balasan, bapa saya meletakkan syarat dia bersetuju menjadi imam sekiranya masjid Pas itu ditutup.

Benar, masjid Pas itu ditutup dan sebahagian besar penyokongnya mula bersolat Jumaat dengan imam asal hanya menyampaikan khutbah. Namun lama-kelamaan dua imam asal diberi peranan mereka kembali dan peliknya penyokong Pas bersedia pula menjadi makmum. Nampaknya sekali lagi yang dahulunya haram menjadi halal!

Bagaimanapun pada masa sama terdapat sekelompok penyokong tegar Pas yang enggan berganjak dan mereka bertindak membuka satu masjid baru di Kampung Awek yang terletak bersebelahan kampung saya. Alasannya, mereka tetap mahu dua imam itu dipecat kerana tidak sealiran fahaman politik.

Bagi menggenapkan bilangan jemaah, mereka mengimport penyokong Pas dari luar kariah untuk menunaikan solat Jumaat di masjid baru itu dengan arahan seorang pemimpin veteren Pas di Besut.

Pada 2004, Pas hilang kuasa di Terenggannu dan begitulah juga nasib masjid utama di kampung saya yang kehilangan jemaah secara beransur-ansur apabila penyokong pas ‘melarikan diri’ untuk menunaikan solat Jumaat di masjid mereka. Jika dahulunya halal, sekarang sudah menjadi haram semula, sedangkan imamnya adalah orang yang sama.

Itu antara kisah perpecahan umat Islam yang saya saksikan di kampung halaman sendiri dan realiti buruk lagi mengerikan itu turut berlaku di kawasan lain khususnya Besut, daerah yang paling teruk terpalit Amanat Haji Hadi. Megikut rekod terkini 8 daripada 11 masjid mengadakan solat berasingan berada di Besut manakala bakinya dua di Dungun dan satu di Marang.

Kecelaruan itu pernah mendapat perhatian Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 16 Disember tahun lalu apabila baginda melahirkan rasa dukacita dengan masalah itu. Baginda bertitah, kejadian seumpama itu boleh mencemar serta menodai kesucian agama Islam seterusnya menyebabkan umat Islam dihina dan dipermainkan.

“Keadaan ini amat menyedihkan beta selaku ketua agama dan pemimpin umat Islam di negara ini. Oleh itu, beta menyeru rakyat sekalian supaya sama-sama mencari jalan ke arah kedamaian dan kemurnian hubungan antara dua pihak bertelagah agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman sejahtera,” titah baginda.

Timbul persoalan apakah yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Hadi Awang sendiri untuk menangani sisa-sisa amanatnya itu? Peluang terbaik Abdul Hadi untuk meperbetulkan keadaan ialah sewaktu dia memegang jawatan Menteri Besar selama sepenggal bermula 1999 namun tidak dimanfaatkan.

Pun begitu selaku Presiden Pas, dia boleh sahaja pada bila-bila masa mengeluarkan arahan. Sebagai orang yang mencetuskan polemik dia bertanggungjawab untuk menyelesaikannya tetapi yang dilihat bersungguh-sungguh ialah para pemimpin UMNO sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad sendiri pernah mencadangkan kerajaan negeri mewartakan bangunan yang dijadikan tempat mendirikan solat Jumaat oleh penyokong Pas sebagai masjid dalam usaha mengurangkan perpecahan.

Baru-baru ini ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid pula mencadangkan Abdul Hadi turun ke semua kawasan yang masih lagi mengamalkan dua solat Jumaat dalam satu kariah dan membetulkan keadaan.

“Bersetuju atau tidak, saya bagi pandangan dalam dewan ini kerana perpecahan ini bermula daripada Pas, kita minta wakil Rhu Redang (Abdul Hadi) pergi ke kawasan yang masih berlaku perpecahan dan tarik balik amanat itu,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, April lalu.

Dalam sidang sama, Pengerusi jawatankuasa Agama dan Penerangan Terengganu, Khazan Che Mat berkata, kerajaan melalui Majlis agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyatuaan Jumaat dalam Satu Mukim.

Panel jawatankuasa itu terdiri daripada pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) bagi menjalankan kajian terperinci mengenai punca dan cadangan menyelesaika masalah itu.

Kepada Abdul Hadi, Ingin saya lontarkan persoalan: “UMNO yang pernah dikafirkan dahulu telah berusaha..bila Datuk Seri Tuan Guru mahu memperbetulkan keadaan?”

Kecelaruan itu pernah mendapat perhatian

UTAMAPOLITIKHadi perlu perbetulkan keadaan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium