Hakim hairan pihak pendakwa bantah Najib mohon periksa barangan yang disita - pakdin.my

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menyoal beberapa pasukan pendakwa berhubung bantahan mereka dengan permohonan Datuk Seri Najib Razak mahu memeriksa secara fizikal barangan sita yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini, bekas perdana menteri itu telah memohon perintah mahkamah untuk memeriksa sendiri barangan sitaan yang antaranya jam tangan, beg tangan serta wang tunai termasuk matawang asing dirampas di kediaman keluarganya.

Selain Najib, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuannya Nooryana Najwa turut memfailkan permohonan pemeriksaan fizikal pada 19 Julai tahun lalu berhubung sitaan yang sama.

Masing-masing memohon untuk memeriksa barangan dirampas bagi membantu pasukan peguam menyediakan pembelaan terhadap saman pelucuthakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mohamed Zaini mendengar terlebih dahulu hujah peguambela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mendakwa kebanyakan barangan disita itu sebenarnya adalah hadiah dari pelbagai pihak termasuk negara asing seperti Arab Saudi.

“Antara yang kami mohon periksa adalah 260 beg tangan, 41 jam tangan yang sebenarnya ada kotak serta labelnya. Itu sebenarnya akan menyenangkan anak guam saya untuk periksa dan mengenalpasti barangan itu adalah hadiah atau sebaliknya.

“Permohonan kebenaran memeriksa barangan secara fizikal oleh anak guam saya sebenarnya sangat penting bagi kes ini,” katanya di hadapan Mohamed Zaini hari ini.

Mohamed Zaini kemudian meminta apakah bantahan yang dikemukakan oleh pasukan pendakwaraya dengan permohonan itu.

Bagaimanapun, Mohamed Zaini kemudiannya kelihatan tidak begitu berpuas hati dengan hujah yang dikemukakan oleh pendakwaan bagi menolak permohonan oleh Najib itu sehingga beliau bertanya tiga kali kepada Timbalan Pendakwa Raya, Fatnin Yusof.

Fatnin: Seandainya dibenarkan melakukan pemeriksaan seperti yang di mohon maka ini merupakan kes pertama di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) yang dibenarkan melakukan sedemikian.

Ini sekaligus akan membuka pintu kepada kes AMLA lain selepas ini. Kita tidak mahu menetapkan satu precedent (kes pendahulu) untuk kes Amla lain. Sebelum ini, tidak ada kes AMLA yang beri kebenaraan periksa secara fizikal barangan rampasan Yang Arif.

Hakim Mohamed Zaini: Baiklah tetapi saya hendak tahu apakah isu utama yang membimbangkan kamu sehingga mahu membantah permohonan?

Fatnin: Isu keselamatan yang mana masalah timbul apabila barang-barang yang disimpan di dalam bilik kebal di Bank Negara Malaysia (BNM) itu diperiksa malah untuk menjalankan pemeriksaan di BNM adalah mustahil kerana keperluan untuk menjaga keselamatan di bilik kebal.

Hakim Mohamed Zaini: Tetapi saya rasa kita tidak akan isu keselamatan kerana anda boleh gunakan polis untuk mengawal bilik tersebut ketika pemeriksaan, lagipun yang memeriksa ini bukanlah pengganas. Saya hendak cuba fahamkan apa yang merisaukan kamu?

Fatnin: Kita juga akan akan berhadapan dengan masalah logistik seperti kemerosotan nilai apabila barang-barang sitaan itu dikeluarkan dari bilik kebal itu.

Ketika itu boleh kedengaran segelintir dalam bilik bicara gelak seketika malah Mohamed Zaini kelihatan tersenyum dengan hujah tersebut.

Kata Mohamed Zaini beliau sendiri pernah menangani kes besar rampasan dadah 200 kilogram (kg) di mana dadah itu akan dibawa berulang alik ke mahkamah tanpa ada apa-apa isu.

Hakim Mohamed Zaini: Saya juga boleh buat andaian bahawa pemeriksaan itu juga bukanlah dilakukan dalam bilik kebal sebaliknya di sebuah bilik khas bukan begitu? Juga dikawal rapi.

Jika anda cakap tentang kemerosotan, saya ingin beri anda satu contoh kes saya yang mana 200 kg dadah pernah dibawa ulang alik. Pada saya sekiranya barangan yang hendak diperiksa secara fizikal itu adalah kaca, mungkinlah fragile tapi kita sedang bercakap tentang beg tangan, jam dan wang tunai.

Daripada segi keselamatan pula, kamu juga boleh mohon hadkan pemohon sahaja yang masuk juga dengan kawalan rapi. Saya masih cuba fahamkan keselamatan yang kamu sebutkan ini.

Fatnin: Kita boleh buat rakaman video dan persembahkan kepada pemohon Yang Arif.

Mohamed Zaini: Rakaman video? Tetapi itu boleh dipersoal kelak. Kamu sendiri tahu bagaimana sekarang ini barangan yang dijual atas talian (online), gambarnya lain yang sampai kepada kita itu lain.
Lagi pun saya juga difahamkan ketika rampasan barangan itu, pemohon tidak ada di premis. Pemohon tidak ditunjukan barang-barang tersebut secara fizikal. Adakah ini adil buat mereka?

Menurut peguambela, rata-ratanya adalah hadiah dan bukan seperti yang didakwa. Sama ada saya terima atau tidak jawapan pemohon tentang barangan itu kelak, itu soal lain.

Yang saya sedang persoalkan di sini, dalam mahkamah saya, pengadilan perlu diberikan kepada semua pihak. Semua orang perlu diberikan peluang. Mungkin ada pasukan pendakwa lain boleh bantu beri hujah bantahan ini.

Muhammad Shafee kemudian bangkit memberitahu beliau pernah berdepan kes seperti itu sebelum ini di mana mahkamah telah memberikan kebenaran kepada pemohon untuk barangan berbentuk emas untuk diperiksa.

Malah jelasnya, sebenarnya BNM ada menyediakan tempat yang dipanggil sebagai Sasana Kijang di mana pemeriksaan boleh dilakukan dengan selamat.

“Sememangnya BNM dikawal ketat, pemeriksaan juga dilakukan dengan kawalan semua pihak malah dalam kes saya sebelum orang luar juga boleh hadir ketika pemeriksaan itu dilakukan.

“Saya tidak faham, tidak mungkinlah kami yang memohon kemudian bertindak mencuri pula barangan dalam bilik kebal itu,” ujarnya

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohamed Zaini kemudian menetapkan 3 Februari bagi memutuskan sama ada beliau akan membenarkan permhonan Najib, Rosmah serta Nooryana atau sebaliknya.

Sebelum ini, notis dikeluarkan bagi membolehkan pihak berkepentingan hadir ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan dan memberikan alasan mengapa harta terbabit tidak sepatutnya dilucut hak kepada kerajaan.

UTAMANAJIB RAZAKHakim hairan pihak pendakwa bantah Najib mohon periksa barangan yang disita

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium