#hamPAS ‘Jangan ghairah ke Putrajaya’ – Agenda Dakwah Seperti Dipinggirkan

Datuk Mohamed Daud

Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Mohamed Daud kesal dengan sikap kebanyakan pimpinan dan ahli Pas yang ghairah untuk ke Putrajaya sedangkan agenda dakwah sebenar dalam masyarakat seperti dipinggirkan.

Beliau yang juga bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat berkata, orang Pas sepatutnya memenuhi masjid dan mengadakan lebih banyak program dakwah serta pendidikan, bukannya merancang untuk merampas kekuasaan negara semata-mata.

Beliau berkata, lebih banyak masjid kini termasuk di Kelantan semakin suram tanpa agenda tarbiah sedangkan dalam sejarah Nabi Muhammad SAW telah meletakkan masjid sebagai pusat penting untuk menyuburkan agama.

“Kita sepatutnya menghidupkan masjid terlebih dahulu, kuasai masjid sebelum kita ghairah mahu berkuasa di Putrajaya.

“Kalau kita tinggalkan agenda masjid dan hanya fikir mahukan Putrajaya, jika kita berkuasa kelak, orang jenis macam mana yang kita hendak lantik menjadi duta misalnya? Adakah orang yang tidak pernah bersolat di masjid?

“Saya sedih lihat keadaan banyak masjid sekarang sudah mati, di mana orang kita yang sepatutnya datang penuhkan masjid? Padahal kalau masjid sudah hidup barulah kita sebenarnya boleh perintah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kuliah pagi di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.

Mohamed menambah, beliau amat berharap semua pihak sedar mengenai perkara ini dan melakukan tindakan segera.


MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini