Hampir 800 pengamal perubatan swasta sedia menjadi PPV - pakdin.my

Hampir 800 daripada 2,600 pengamal perubatan swasta yang berdaftar dengan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) telah menyatakan kesediaan untuk menjalankan vaksinasi.

ProtectHealth dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan proses pemberian lampu hijau bagi penglibatan 800 pengamal perubatan swasta itu dijangka akan diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan proses vaksinasi dapat dijalankan segera.

“Sebagai memastikan pengendalian vaksinasi adalah mengikut standard dan piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kesemua Jabatan Kesihatan Negeri sedang bertungkus-lumus memudah cara dalam memaksimumkan penglibatan pengamal perubatan swasta ini.

“Sehingga kini, lebih 200 pengamal perubatan swasta telahpun menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan menjalankan vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,” menurut kenyataan itu.

ProtectHealth mengeluarkan kenyataan itu sebagai maklum balas berhubung kegusaran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkaitan proses pemberian lampu hijau kepada pengamal perubatan swasta sebelum dibenarkan terlibat dalam program imunisasi kebangsaan itu.

Mengulas mengenai dakwaan MMA bahawa tiada libat urus bersama persatuan itu, ProtectHealth menjelaskan pihaknya telah mengadakan sesi taklimat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan kerjasama MMA pada 2 April lepas yang dihadiri kira-kira 200 ahli persatuan.

Selain itu, ProtectHealth turut mengadakan lebih 12 sesi taklimat dan latihan kepada semua pengamal perubatan swasta berdaftar yang diadakan secara berterusan bermula 29 Mac lepas melibatkan lebih 6,000 pengamal perubatan swasta.

“ProtectHealth amat menghargai kesediaan pengamal perubatan swasta dalam membantu mempercepatkan usaha ke arah pembentukan imuniti kelompok dan dalam masa yang sama ingin menegaskan bahawa terdapat pelbagai perkara yang perlu dititikberatkan serta pelbagai pemegang taruh perlu dilibatkan kerana ia melibatkan kesihatan awam,” katanya.

Sehubungan itu, ProtectHealth menjemput semua 9,200 fasiliti kesihatan swasta yang berdaftar dengan KKM untuk bersama-sama terlibat dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan meningkatkan kapasiti dos sehari bagi mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera.

UTAMABERITAHampir 800 pengamal perubatan swasta sedia menjadi PPV

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium