Hanya 13% orang Melayu sokong Anwar jadi PM? - pakdin.my

Kajian Merdeka Center berdasarkan sampel yang diambil pada November 2019 mendedahkan sokongan masyarakat Melayu kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri ke-8 hanya berada di lingkungan 13%.

Perkara ini jauh lebih mengejutkan daripada tindakan Maszlee Malik meninggalkan Kabinet pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu, perlu diingatkan kajian Merdeka Center dilakukan sebelum isu dakwaan seksual terhadap Anwar oleh bekas penyelidik di pejabatnya, Muhammed Yusoff Rawther menjadi sensasi pada Disember lalu. Impak dakwaan ini dalam sokongan masyarakat Melayu terhadap Anwar belum diketahui.

Meskipun Anwar mendapat sokongan agak tinggi daripada masyarakat Cina (58%) dan masyarakat India (62%), tetapi tanpa sokongan masyarakat Melayu yang kukuh, beliau hanya mempunyai sokongan 32% secara purata daripada semua kaum.

Ini jelas apabila Mahathir yang diserang kiri kanan saban hari masih mencatatkan purata sokongan 42%, iaitu 10% lebih tinggi daripada Anwar secara purata daripada semua kaum.

Walaupun sokongan masyarakat Cina dan India menjunam kepada 20% dan 14%, Mahathir masih mempunyai sokongan purata 42% kerana 58% masyarakat Melayu menyokongnya sebagai perdana menteri.

Meskipun tidak dinyatakan secara khusus dalam kajian Merdeka Center, berdasarkan bacaan politik semasa, sokongan menjunam masyarakat Cina dan India terhadap Mahathir boleh dilihat daripada 2 isu utama – pelaksanaan 3 muka surat tulisan Jawi di sekolah vernakular dan keputusan kerajaan memberi ruang kepada Dr Zakir Naik untuk terus bermastautin di Malaysia meskipun beliau dikehendaki India.

Persoalannya, apakah sokongan tinggi masyarakat Cina dan India terhadap Anwar berpunca daripada kepercayaan Anwar akan mengambil pendirian berlainan daripada Mahathir dalam isu kontroversi tulisan Jawi dan Naik, serta isu lain yang mereka tidak berpuas hati?

Jika ya, apakah mereka kini kecewa apabila Anwar baru-baru ini mengecam mereka yang menentang pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular sebagai keterlaluan sehingga menyentuh perasaan orang Melayu?

Ataupun sokongan mereka terhadap Anwar hanyalah reflektif kepada kebencian mereka terhadap Mahathir tanpa mengira apa isunya?

Jika kajian Merdeka Center ini jitu, nampaknya semakin berliku jalan untuk Anwar menjadi perdana menteri ke-8 yang boleh diterima secara seimbang oleh rakyat Malaysia.

Pendek kata, Anwar perlu melakukan sesuatu untuk memulihkan imejnya dalam kalangan masyarakat Melayu.

Jika sokongan terhadap Anwar terus merudum, ini akan menyebabkan Mahathir sukar menunaikan janji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar kerana dikhuatiri penyerahan kuasa ini mungkin membawa lebih banyak kesan negatif berbanding kesan positif kepada kestabilan negara, khususnya.

Oleh Timmy Say

 

UTAMAPOLITIKHanya 13% orang Melayu sokong Anwar jadi PM?

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium