Harga minyak melantun semula

NEW YORK – Harga minyak naik 4%, selepas mengalami kejatuhan berikutan jangkaan pengurangan pengeluaran bahan api oleh OPEC dan rangsangan ekonomi oleh bank-bank pusat susulan bagi menangani permintaan akibat wabak koronavirus.

Harga Brent naik AS$2.23 setong kepada AS$51.90 setong selepas jatuh kepada AS$48.40, paras terendah sejak Julai 2017 pada sesi sebelumnya.

Manakala West Texas Intermediate pula naik AS$1.99 setong kepada AS$46.75 setong. Sesi rendah bagi minyak ini adalah AS$43.32 setong, terendah sejak Disember 2018.

Ia adalah keuntungan pertama untuk kedua-dua penanda aras selepas enam sesi kerugian yang dicetuskan oleh kebimbangan mengenai koronavirus, yang telah membunuh hampir 3,000 orang dan menjejaskan pasaran global.

Penularan wabak itu dikhuatiri akan menjejaskan permintaan mendorong ahli-ahli OPEC untuk mengurangkan lagi pengeluaran pada suku kedua tahun ini

Cadangannya untuk mengurangkan lagi 600,000 tong.

Pengeluaran minyak OPEC jatuh pada bulan Februari kepada paras terendah lebih sedekad selepas bekalan dari Libya lumpuh berikutan halangan protes di pelabuhan-pelabuhan dan medan minyak.

Harga minyak jatuh lebih daripada 20% sejak awal tahun ini meskipun OPEC telah mengurangkan 1.7 juta tong di bawah perjanjian sebelum ini.

Perjanjian itu berakhir pada bulan depan.