Hari ke-20 Acap hilang, misteri ramai lagi belum tiba ke garisan penamat

Hari ini masuk hari ke-20 kehilangan Muhammad Ashraf Hasan ketika menyertai larian denai Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019 pada 23 Mac lalu.

Ashraf, 29, atau mesra panggilan Acap yang masuk kategori 25 kilometer tidak pernah tiba ke garisan penamat. Kali terakhir beliau dirakam di puncak Bukit Batu Putih, Gopeng sebelum hilang tanpa jejak.

Segala usaha mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan bukan sahaja melibatkan polis, bomba, tentera, Orang Asli suku Temuan dan sukarelawan, malah ustaz, bomoh, pawang, perawat, pakar survival serta bermacam-macam lagi individu yang mendakwa diri “berilmu” dan mempunyai “deria keenam” juga turun mencari, namun semuanya menemui jalan buntu.

Ceruk kampung, hutan, kebun, sungai, celah pokok dan batu, alam nyata, alam ghaib, semuanya sudah diterokai dalam usaha membawa pulang Acap ke pangkuan keluarga di Muar, Johor.

Namun, ini bukanlah kali pertama kes individu dilapor hilang ketika masuk ke kawasan hutan semasa melakukan aktiviti lasak.

Ini senarai beberapa individu yang dilapor hilang. Ada yang ditemui, ada pula tidak pernah menemui jalan pulang hingga ke saat ini:

Teo Kim Lean
Teo Kim Lean, 53, dilapor hilang ketika melakukan latihan larian di Bukit Hatamas @ Bukit Apek, Cheras, Selangor pada 16 Jun 2015.

Seramai 150 sukarelawan, lebih 30 penguat kuasa, unit anjing pengesan, dan ritual agama, dan paranormal dilakukan bagi mencari Teo, atau mesra dikenali “Oily” oleh rakan-rakan kelab larian Klang Hash House Harriers and Harriettes, namun tiada jejak ditemui.

Selepas 10 hari, pihak berkuasa menamatkan misi SAR dan sukarelawan meneruskan pencarian hingga 30 Jun.

Kehilangannya dikatakan misteri kerana kawasan bukit di sempadan Kuala Lumpur-Selangor bukanlah hutan tebal dan berdekatan perumahan. Ia juga tempat biasa penduduk setempat beriadah.

Petunjuk berupa beberapa titisan darah ada ditemui pada daun pohon berdekatan sumber air di hutan situ, dipercayai milik Teo.

Namun, polis memaklumkan hasil ujian DNA tidak sepadan dengan anak mangsa.

Dennis Lee Thian Poh

Lee, 48, hilang ketika menyertai aktiviti mendaki banjaran Annapurna di Nepal bersama lapan rakan dari Filipina pada 5 April 2015.

Kehilangan ahli perniagaan dari Kuala Lumpur disedari pada hari pertama pendakian di kawasan perkampungan Ghorepani, barat Nepal.

Operasi SAR pihak berkuasa Nepal dan kedutaan Malaysia dijalankan, menggunakan jalan darat dan udara dengan bantuan penduduk tempatan dan sukarelawan.

Namun cuaca sejuk dan ketinggian altitud lebih 3,000 meter menyukarkan pencarian. Keluarga mangsa juga sanggup terbang ke Nepal menyertai usaha mencari.

Akaun Facebook “Find Dennis” diwujudkan, selain menawarkan ganjaran sebanyak RM18,000 kepada mana-mana individu atau kumpulan yang menemui Lee.

Semuanya dilakukan ahli keluarga agar mangsa ditemui dalam keadaan selamat.

Hassan Ayat  Zainuddin

Kisah misteri Hassan Ayat Zainuddin yang hilang sejak 10 tahun lalu popular dalam kalangan pendaki gunung.

Pemuda usia 28 tahun menyertai ekspedisi mendaki Gunung Yong Yap, sempadan Perak-Kelantan pada 15 Februari 2009 bersama 13 rakan.

Pekerja bank RHB dari Bangi, Selangor kali terakhir ditemui ketika turun dari puncak. Mangsa dipercayai sesat dalam kawasan hutan tebal.

Selepas hampir sebulan pencarian, operasi SAR ditamatkan pada 8 Mac 2009 selepas tidak menemui sebarang petunjuk.

Beberapa bulan sebelum kejadian, mangsa menulis satu sajak misteri, menimbulkan dakwaan kaitan kehilangannya dengan alam bunian.

Mohd Azarul Mukhriz
Mohd Azarul Mukhriz, 20, hilang ketika mendaki Bukit Broga di Semenyih, Selangor pada 22 Januari 2017 bersama lapan rakan termasuk majikan.

Operasi SAR dijalankan, meredah kawasan bukit, Gunung Tok Wan dan kawasan sekitar namun tiada petunjuk.

Selepas tujuh hari, mekanik ditemui oleh dua pelancong Britain di kawasan sama dalam keadaan lemah dan berkaki ayam.

Bapa saudaranya, Ahmad Saad, 59, ketika melawat Azarul di Hospital Kajang berkata mangsa menceritakan dia “dijaga” seseorang sepanjang kehilangannya.

Selepas beberapa minggu menerima rawatan termasuk cara tradisional, Azarul mendedahkan cerita sebenar kepada umum.

Remaja itu mendakwa ketika kejadian beliau mengikuti “seorang kanak-kanak” dan menyangkakan dirinya hanya tersesat tiga hari.

Nur Umaisarah Same’aun
Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Nur Umaisarah Same’aun, 21, atau Umai sesat selama 19 hari di Gunung Tahan, Pahang pada Februari 2008.

Penuntut tahun akhir Diploma Perakaunan kampus Arau, Perlis yang menyertai ekspedisi unit beruniform bersama 35 rakan disedari hilang 7 Februari ketika turun dari puncak Tahan.

Umai pada 26 Februari 2008 ditemui dalam keadaan lemah pada jarak 30km daripada lokasi terakhir dilaporkan sesat. Berat badannya juga susut sebanyak 15kg.

Katanya, ketika kejadian dia bagai terpukau dengan keindahan pokok-pokok bonsai, menyebabkannya terpisah dengan rakan dan tersasar dari laluan asal.

Sepanjang kejadian, pelbagai ikhtiar hidup dilakukannya termasuk cubaan membuat unggun api menggunakan cermin mata dan ranting kayu.

Kisahnya dicatat dalam blog dan buku 19 Hari Sesat Di Gunung Tahan.

Ramli Abdul Majid dan Syed Redzuan Syed Saalim Shatri

Pada 17 November 2016, seramai 12 pendaki Kelab Jelajah Alpine (KJA) dari Malaysia menyertai eksepedisi menawan Gunung Damavand, puncak tertinggi di Iran dengan ketinggian 5,610 meter.

Ekoran cuaca buruk dan ada yang mengalami sindrom mabuk gunung (AMS), hanya dua peserta Ramli Abdul Majid, 45, dan Syed Redzuan Syed Saalim Shatri, 50, tekad untuk meneruskan perjalanan ke puncak walaupun dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian.

Mereka berdua bagaimanapun tidak turun pulang ke Kem 3 yang terletak pada ketinggian 4,220 meter pada 20 November 2016.

Selepas enam hari mencari, mayat Syed Redzuan ditemui di Yakhar Glacier, dipercayai terjatuh dari ketinggian 4,100 meter.

Misi pencarian Ramli yang masih hilang diteruskan Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS) dan beberapa pendaki dari Malaysia.

Setahun kemudian, media Iran melaporkan mayat ketua jurutera sistem Proton itu ditemui di kawasan sama.- projekmm.com