Hasan Ali Tayang Video Beberapa Individu Dimurtadkan - pakdin.my

KUALA LUMPUR: Presiden Jalur Tiga (JATI) Datuk Dr Hasan Ali pada Isnin menayangkan dua rakaman video apa yang didakwanya pengakuan beberapa individu di negara ini yang pernah dimurtadkan oleh pergerakan sebuah agama lain.

Video itu, yang masing-masingnya memakan masa selama 16 minit dan 42 minit, dipertontonkan kepada wakil media di kediaman beliau di sini.

Video berjudul ‘Murtad’ itu memaparkan audio-visual temubual pasangan suami isteri yang mendakwa pernah menjalani upacara masuk agama lain oleh pasangan mubaligh berkulit putih dari sebuah negara asing setelah tertarik dengan tawaran mereka.

Seorang daripadanya, yang menggunakan nama samaran Ramli Abdullah, 47, dan wajahnya dikaburkan, menceritakan bahawa antara tawaran yang diterima ialah tempat tinggal dan pekerjaan tetap.

Beliau turut mendakwa pernah bertemu sendiri dengan sekurang-kurangnya 300 orang Melayu Islam yang dimurtadkan melalui pergerakan agama berkenaan. “Cara mereka ialah dengan mendekati orang Islam yang kesempitan, yang susah sebagai contoh ibu tunggal, mereka buat baik, selidik apa keperluan dan di peringkat awal mereka akan cuba penuhi keperluan golongan itu sebelum menarik mereka menyertai pergerakan itu,” katanya.

Beliau turut mendakwa anggota pergerakan itu turut menggunakan ayat-ayat Al-Quran sebagai ‘jambatan’ untuk mendekati dan mempengaruhi orang Islam.

Lelaki yang berasal dari utara tanah air itu bagaimanapun mengakui beliau dan isteri yang dikenali sebagai Zakiah telah kembali ke pangkal jalan dan telah disyahadahkan semula.

Hasan, yang juga bekas anggota exco kerajaan negeri Selangor dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, pernah beberapa kali menimbulkan mengenai isu murtad khususnya di Selangor, termasuk dalam ceramah-ceramah beliau selepas dipecat sebagai anggota Pas.

Kegiatan menyebarkan ajaran agama lain kepada orang Islam merupakan satu kesalahan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan juga undang-undang tubuh negeri-negeri.

Hasan turut mendakwa menerima maklumat bahawa mubaligh bukan Islam mendekati umat Islam melalui pemakaian jubah serta bersolat Zohor berjemaah dengan masyarakat Islam.

Hasan berkata wajah individu yang membuat pengakuan dalam video itu terpaksa dikaburkan atas dasar keselamatan.

“Saya juga dinasihatkan oleh barisan peguam dan individu yang beri pandangan mengenai perkara ini untuk tidak mengizinkan mana-mana pihak menerbitkan semula sebahagian atau sepenuhnya rakaman yang dibuat ini,” katanya.

Hasan berkata versi penuh rakaman video yang memakan masa sejam setengah akan dipertimbang untuk dipertonton sekiranya terdapat permintaan khusus daripada pihak-pihak tertentu termasuk Jabatan Agama Islam Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor.

Katanya beliau sedang mengusahakan pengumpulan data mengenai orang Islam yang terlibat dalam pergerakan memurtadkan mereka melalui Unit Selamatkan Akidah yang ditubuhkan sejak enam bulan lepas.

Katanya usaha itu adalah satu permulaan untuk mendapatkan maklumat mengenai gerakan memurtadkan orang Islam yang selama ini sering dinafikan dan diremehkan oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau membidas Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman yang dilaporkan berkata bahawa PAS Selangor memandang pendedahan video itu sebagai “isu kecil dan tidak penting” berbanding usaha parti itu menangani isu pengundi hantu.

“Bagaimana boleh dia (Abdul Rani) bandingkan antara kepentingan membanteras isu murtad yang paling penting dalam Islam ini dengan pengundi hantu yang disifatkan sebagai benda besar yang hendak diberikan tumpuan oleh PAS,” katanya

UTAMABERITAHasan Ali Tayang Video Beberapa Individu Dimurtadkan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium