Hati-Hati Dengan Pujukan ‘Pelaburan Palsu’ - pakdin.my

×

Abdul Rahman (bukan nama sebenar) baru sahaja mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kira-kira RM500,000.

Beliau sedang memikirkan bagaimana mahu memastikan wang berkenaan dapat menampung kehidupan seharian beliau dan keluarga pada hari-hari pencennya bila bekas pengurus itu diperkenalkan kepada seorang ahli perniagaan yang memberitahu mengenai satu skim yang boleh mendatangkan pulangan yang besar.

Tanpa usul periksa, Abdul Rahman telah menyalurkan beberapa ratus ribu Ringgit dalam skim pelaburan itu dengan mengharapkan pulangan yang berlipat ganda.

Beberapa bulan kemudian, ahli perniagaan tersebut dan syarikatnya yang menawarkan pelaburan itu menghilangkan diri dan akhirnya Abdul Rahman hilang semua wang pelaburannya.

BERPAKAIAN KEMAS, PEJABAT CANTIK

Menurut aktivis konsumer Gurmukh Singh, eksekutif pelaburan palsu ini biasanya akan berpakaian kemas, memandu kereta mewah (yang sebenarnya disewa) serta beroperasi dari premis pejabat yang cantik.

“Sebenarnya mereka tiada hubungkait langsung dengan bisnes pelaburan ini dan cuma hanya mengambil kesempatan. Contohnya, mereka akan mengaburi mata pelabur dengan berjumpa mereka di ‘coffee house’ atau lobi hotel-hotel mewah,” kata beliau.

Ada tiga langkah bagi melindungi wang pelabur daripada ahli perniagaan palsu ini.

“Periksa dan kaji dahulu latar belakang individu, syarikat dan pakej pelaburan yang ditawarkan.

“Perhatikan perjalanan pelaburan yang anda buat. Tetapi ini tidak memberi jaminan bahawa tiada penipuan berlaku. Cuma ia langkah berjaga-jaga,” jelas Gurmukh lagi.

Perunding pelaburan palsu ini akan mencari mereka yang hanya mempunyai sedikit wang atau sedang mengalami masalah kewangan bagi memudahkan penipuan kerana hanya mereka yang kesempitan kewangan akan mudah ‘termakan’ dengan pujukan tentang cara mudah mendapatkan wang.

“Apa yang ada pada syarikat atau individu palsu ini ialah keupayaan mereka menyakinkan mangsa,” jelas beliau.

KEBOLEHAN

Setiap eksekutif penipu ini berkebolehan menyakinkan mangsa, sama dengan kebolehan yang ada pada jurujual yang berjaya.

“Tetapi penipu tidak akan menunaikan janji mereka dan mereka akan menjanjikan gunung atau langit tanpa ada batasan asalkan anda mengeluarkan wang.

“Perkara utama dijanjikan ialah pulangan yang besar dan ini akan menarik minat sesiapa sahaja yang mendengar”.

Kata Gurmukh, sesudah tertarik dengan tawaran ini, mangsa akan dengan mudah merelakan diri serta wangnya memasukki skim pelaburan berkenaan dengan satu hasrat iaitu mahu menjadi kaya dengan cepat.

TANYA SOALAN

Amalan bertanyakan pelbagai soalan biasanya akan menyebabkan eksekutif palsu ini menjadi ‘lemah’ dan akan terus meninggalkan mangsa.

Antara soalan tersebut adalah:” Dari mana anda dapat nama saya? Apa risiko yang ada dalam pelaburan ini?”

Soalan lain ialah: “Bolehkah anda beri penjelasan secara bertulis agar saya boleh baca kemudian? Bolehkah anda terangkan pelan pelaburan kepada peguam, akauntan dan penasihat pelaburan saya?

“Bolehkan anda beri nama pegawai dan syarikat pelaburan anda? Boleh anda beri nama untuk rujukan? Adakah anda punya dokumen, prospektus atau brosur?

“Adakah pelaburan yang ditawarkan ini sah? Di bawah bidang kuasa agensi kerajaan manakah pelaburan seperti ini wujud?

“Berapa lama syarikat telah beroperasi dan menjalankan perniagaan? Bagaimana dengan pencapaian anda dan bolehkah saya bertemu dengan pegawai atau wakil lain dari syarikat anda?

“Ke mana sebenarnya wang saya akan pergi dan dilaburkan? Bagaimana saya nak berhenti melabur dan dapatkan wang saya balik dan bila (boleh dapatkan wang balik)?”

SIASAT

Sebelum membuat sebarang pelaburan ada baiknya orang ramai menyiasat dahulu skim perniagaan yang ditawarkan.

“Mereka yang palsu ini hanya mahukan wang anda, dengan menanyakan banyak soalan akan sedikit sebanyak menakutkan mereka dan akhirnya mereka akan menjauhi orang yang pada mulanya mereka anggap boleh menjadi mangsa.

“Mesti ingat, bila sahaja anda beri wang kepada syarikat atau individu palsu ini, jangan harap anda mudah dapat balik wang itu. Kemungkinan besar anda akan hilang semuanya,” tambah Gurmukh.

UTAMAHati-Hati Dengan Pujukan 'Pelaburan Palsu'

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium