Hentikan politik sempit – Ingatan kepada Ahli Parlimen - pakdin.my

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya berhenti berpolitik untuk kepentingan sempit kerana perkara itu telah berlarutan sejak sekian lama hingga melelahkan rakyat dan kerajaan.

Tegas baginda, sebagai wakil rakyat, mereka seharusnya memberikan contoh dan teladan yang baik kepada rakyat dengan saling bergandingan dalam melahirkan buah fikiran bermanfaat demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara berterusan.

Tuanku Abdul Halim bertitah, dalam negara demokrasi berperlembagaan, masing-masing boleh berlainan pandangan, namun bukan saling menjatuhkan, bermusuhan dan fitnah-memfitnah yang akhirnya menjerumuskan negara kepada kehancuran.

“Beta menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat dan rakyat keseluruhannya supaya bersatu serta sayangilah negara ini dengan sentiasa menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi, mempertahan dan melindunginya.

“Elakkan juga daripada memburuk-burukkan negara di mata dunia,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Tuanku Abdul Halim bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan sidang Parlimen Keempat Penggal Ke-13 hari ini.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah turut berangkat pada majlis perasmian itu.

Yang hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Tuanku Abdul Halim bertitah, usaha transformasi Parlimen yang telah diusulkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia amat dialu-alukan untuk dibentangkan dalam persidangan kali ini.

Sehubungan itu, semua Ahli Parlimen diharap dapat menerima pindaan itu dan menjadikan institusi Parlimen lebih kukuh serta berkesan dalam melaksanakan fungsinya sebagai salah satu cabang pentadbiran negara.

“Usaha-usaha mentransformasikan perkhidmatan awam ke arah lebih berpaksikan rakyat, meningkatkan produktiviti dan kecekapan juga akan terus dilaksanakan.

“Pada masa sama, beta ingin menyeru anggota-anggota perkhidmatan awam agar sentiasa melindungi kerahsiaan maklumat kerajaan dan mematuhi undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa bagi menjamin kestabilan negara,” kata Yang di-Pertuan Agong.

UTAMAPOLITIKHentikan politik sempit - Ingatan kepada Ahli Parlimen

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium