Hiba Dan Sayu Rasa Hati Melihat Abdul Hadi Di Kandang Mahkamah - pakdin.my

hadi-kandang-mahkamah-saman-2juta

Penyokong PAS meluahkan rasa sayu apabila melihat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berada di kandang Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.

Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani berkata Abdul Hadi terpaksa berada di kandang mahkamah hari ini kerana terpaksa mempertahankan dirinya daripada tuduhan yang direka oleh rakan dalam pakatannya.

“Itulah nilai persahabatan dalam pakatan??,” soalnya.

Ahmad Sauffi yang turut mengikuti perbicaraan dalam Mahkamah Tinggi, Kuala Terengganu hari ini memberi ulasan seperti berikut :

Perbicaraan bermula pada 9.40 dengan memanggil saksi pertuduhan plaintif, YB Azan Ismail yang juga Pengerusi PKR Terengganu. Seorang lagi saksi ialah wartawan Kosmo kerana pertuduhan dibuat atas butir laporannya. Namun beliau tidak menghadirkan diri.

Selepas rehat jam 10.15, mahkamah memanggil TGHH sebagai defendan bagi memberi keterangan. Segala pertanyaan dijawab walaupun hakim menyatakan empat soalan terakhir yang diajukan peguam plaintif tidak perlu dijawab kerana tidak relevan. Antaranya soalan adakah TGHH setuju bahawa beliau gagal mengemukakan empat orang saksi tentang kenyataannya? Macam bicara kes hudud zina pula.

Akhirnya mahkamah memanggil YB Ariffin Deraman sebagai saksi kenyataan TGHH pada ceramah yang menjadi subjek pertuduhan. Namun tiada sebarang soalan diajukan kepadanya.

Pada jam hampir 11.30, mahkamah menangguh perbicaraan hingga ke 23 November depan.

Mahkamah sesak dipenuhi penyokong TGHH dari seluruh negara termasuk Sabah hingga memaksa hakim membenarkan pemerhati duduk bersila di atas lantai. Mungkin ini mencetus suatu sejarah baru di Malaysia.

Apa yang menarik ialah reaksi spontan pemerhati yang mengikuti prosiding dari awal hingga akhir. Walaupun pihak mahkamah meminta pemerhati senyap, tetapi reaksi-reaksi yang tercetus dari pemerhati adalah spontan dalam separuh sedar.

Seingat saya ada tiga babak menarik:

Babak 1

Peguam: Bagaimana YB boleh menganggap Tuan Guru dalam ceramahnya memaksudkan orang muda di kalangan calon yang mengalami pertindihan kerusi? Adakah benar Che Gu Bard juga seorang di antara calon di kerusi bertindih?

YB Azan: Ya benar.

Peguam: Adakah benar Che Gu Bard juga orang muda?

YB Azan: Err.. Saya tak kenal siapa Che Gu Bard.

Spontan pemerhati ketawa. Azan bukan sahaja Pengerusi PKR Negeri, beliau juga mengaku salah seorang yang terlibat menentukan calon di peringkat Pusat. Che Gu Bard pula pemimpin PKR pusat paling tersohor, mungkin lebih dikenali berbanding Azmin Ali.

Kalau benar beliau tak kenal, kami ahli PAS sangat kenal Che Gu Bard jika setakat ingin menjawab soalan peguam. Mungkinkah ukhuwwah ahli PAS terhadap ahli PKR lebih utuh berbanding sesama pimpinan PKR sendiri?

Babak 2

Peguam: Adakah Dato Seri setuju bahawa kenyataan Dato Seri adalah fitnah?

TGHH: Siapa orang yang saya fitnah itu?

Peguam(india): Dato Seri (TGHH), adakah benar kenyataan Dato Seri adalah satu pembohongan?

TGHH: Tidak benar. Ia adalah suatu dosa besar menurut agama Islam.

Spontan pemerhati bertakbir. Walaupun telah mengawal suara masing-masing, namun laungan AllahuAkbar tetap bergema kerana hampir keseluruhan melafazkannya serentak.

Babak 3

Peguam: Adakah Tuan Guru mengenali plaintif sebelum pada waktu tersebut?

TGHH: Tidak kenal, tidak tahu dan seingat saya tidak pernah berjumpa dengannya.

Peguam: Adakah Tuan Guru ada sebarang permusuhan dengan beliau?

TGHH: Adalah tidak munasabah saya bermusuh dengannya dalam keadaan saya tidak mengenalinya.

Spontan kami ketawa.

Seronok melihat perbicaraan TGHH berbanding saudara Azan. Suara TGHH lantang menjawab semua soalan sedangkan suara Azan amat perlahan dan meleret walaupun dekat dengan microphone. Hakim terpaksa mencelah menegur Azan kerana tidak menjawab soalan yang diajukan Peguam.

TGHH sudah biasa terlibat dengan perbicaraan di mahkamah. Beliau pernah berhadapan peguam New York Post di mahkamah luar negara berhubung isu pertuduhan terrorist terhadap beliau. TGHH menang dalam perbicaraan tersebut.

Tapi saya juga bimbang reaksi-reaksi kami boleh mengundang padah kerana melanggar undang-undang mahkamah. Mungkin selepas ini kami tidak dibenarkan lagi mengikuti perbicaraan. Waliyazubillah…

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Mohd Yazid Mustafa dalam keputusannya hari ini telah menetapkan 23 November depan untuk menyambung perbicaraan kes saman itu berikutan kegagalan pihak plaintif (Mohd Shamsul) mengemukakan seorang lagi saksi daripada akhbar Kosmo untuk memberi keterangan.

Pada 23 Feb lepas, Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab atau memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul pada 5 Dis tahun lalu.

Mohd Shamsul mengambil tindakan itu selepas Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan bahawa ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum lepas sebagai alasan untuk PAS meletakkan calonnya bertanding di DUN Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Shamsul mendakwa ucapan Abdul Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan.

Facebook pro ulama, El Haraki berpendapat kes saman yang dikemukakan PKR itu bukan bermatlamat untuk mencapai kemenangan, sebaliknya untuk mencemar imej Presiden PAS.

“Menang kalah bukan matlamat mereka. Yang utama ialah mereka ingin calarkan imej Presiden PAS.

“Kata Ibnu Asakir, “daging ulama’ itu beracun.” Awas bagi mereka yang mahu menggigitnya!

“Allah SWT berfirman, “barangsiapa memusuhi waliku, nescaya aku mengisytiharkan perang ke atasnya!”

“Saya lebih cenderung merasakan PKR akan tarik saman dalam masa terdekat. Mereka tahu mereka akan kalah. Tapi jawapan mereka akan beri mesti sebab kasihan dan saja nak uji TGHH. Kes bakal ditutup dalam keadaan imej TGHH masih tercalar,”katanya.

UTAMAPOLITIKHiba Dan Sayu Rasa Hati Melihat Abdul Hadi Di Kandang Mahkamah

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium