25.7 C
Kuala Lumpur
Monday, September 28, 2020

Hukuman Mati Bekas Konstabel Bunuh Kanak-Kanak, Pengasuh Dikekalkan

kes-bunuh-rohana-baharom

Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman mati terhadap seorang bekas konstabel polis kerana membunuh seorang kanak-kanak berusia dua tahun dan pengasuhnya hampir 12 tahun lepas.

Panel lima hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop dalam keputusan sebulat suaranya memutuskan bahawa berdasarkan keterangan,  mahkamah mendapati bahawa sabitan kesalahan Mohd Nahar Abu Bakar adalah selamat.

Mahkamah itu menolak rayuan Mohd Nahar terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Oktober 2010 yang mendapatinya bersalah kerana membunuh Muhammad Nurosama Shohimi, 2, anak kepada bekas setiausaha bahagian Umno Klang Shohimi Shafie, dan pengasuhnya Siti Rohana Baharom, 34.

“Rayuan ini tidak mempunyai merit. Berdasarkan keterangan yang diberi, Mahkamah Tinggi membuat keputusan tepat apabila mendapatinya (Mohd Nahar) bersalah terhadap tuduhan membunuh,” kata Ahmad.

Mohd Nahar, 39, yang pernah bertugas di balai polis Kampung Baru, Manjung, Perak, dituduh melakukan pembunuhan itu di flat kos rendah Siti Rohana di Bandar Baru Klang, Klang pada 1 tengah hari 30 Disember 2003.

Mohd Nahar mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan setelah cubaannya untuk mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman mati terhadapnya ditolak Mahkamah Rayuan pada 3 Januari 2013.

Anak perempuan teman wanita Mohd Nahar, yang berusia lapan tahun ketika kejadian itu berlaku, memberitahu mahkamah bahawa dia melihat Mohd Nahar mencekik dan menikam dada Siti Rohana sebelum melarikan diri.

Saksi itu berusia 15 tahun ketika memberi keterangan di mahkamah.

Ibu remaja itu dan suami Siti Rohana adalah sepupu.

Bagaimanapun, dia dijaga Siti Rohana dan suaminya sejak dilahirkan.

Bedah siasat mendapati terdapat dua kesan tikaman pada tubuh Siti Rohana, yang menyebabkan pendarahan dan mengakibatkan kematiannya, manakala, Muhammad Nurosama, yang didukung Siti Rohana dan menangis ketika kejadian, ditikam dua kali dari belakang. Kedua-dua mereka ditikam dengan sebilah pisau rambo.

Dalam keterangannya, teman wanita Mohd Nahar berkata dia ternampak kesan darah pada bahagian kanan baju putih Mohd Nahar dan diberitahu oleh perayu bahawa tangannya mengalami kecederaan.

Dalam keterangannya, Mohd Nahar berkata tangannya cedera ketika cuba meleraikan rakannya yang bergaduh kerana hutang.

Mohd Nahar diwakili peguam Datuk Naran Singh, manakala timbalan pendakwa raya K. Mangai mewakili pihak pendakwaan.


ARKIB : 31/12/2003

Anak Setiausaha UMNO Klang, pengasuh dibunuh kejam

KLANG 30 Dis. – Anak lelaki Setiausaha UMNO Bahagian Klang, Shohimi Shafie iaitu Mohd. Nurosamah yang berusia dua tahun setengah dan pengasuhnya dibunuh dengan kejam oleh seorang lelaki di kediaman pengasuh terbabit di Rumah Pangsa Blok Cempaka, Bandar Baru Klang di sini, hari ini.

Mohd. Nurosamah ditikam dua kali pada belakang manakala pengasuhnya, Siti Rohana Baharom, 35, ditikam sekali pada dada.

Kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 1 tengah hari akibat ditikam dengan sebilah pisau dipercayai berukuran 23 sentimeter.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Ayub berkata, ketika kejadian anak perempuan Siti Rohana yang dikenali sebagai Siti Aishah, 8, turut berada di rumah itu tetapi sempat melarikan diri apabila melihat ibunya dicekik oleh suspek.

“Suspek terlebih dahulu mencekik Rohana dan selepas berlaku pergelutan dia terus menikam mangsa di bahagian dada.

“Selepas itu suspek telah menikam belakang badan Mohd. Nurosamah dua kali kerana dia takut identitinya didedahkan oleh kanak-kanak tersebut sebelum melarikan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Mohd. Jamil berkata, selepas ditikam Siti Rohana yang juga pembantu pengasuh di Tabika Kemas di rumah pangsa terbabit cuba keluar meminta pertolongan jiran-jirannya.

Bagaimanapun, katanya, mangsa yang mengalami cedera parah rebah kira-kira satu meter di hadapan pintu rumahnya yang terletak di tingkat lima.

Kata Mohd. Jamil, Mohd. Nurosamah pula sudah terbaring di ruang tamu rumah tersebut.

Jelas beliau, setakat ini polis belum mengetahui motif kejadian tetapi pihaknya telah mengenal pasti suspek termasuk latar belakangnya.

Katanya, ini kerana suspek merupakan kenalan keluarga Rohana dan pernah beberapa kali mengunjungi rumahnya, malah Nurosamah yang masih kecil turut mengenalinya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti suspek dan menegaskan polis sedang mengadakan gerakan memburu suspek terbabit.

“Polis juga percaya ini bukan kes samun atau rompakan kerana tidak ada kehilangan barang atau wang milik mangsa,” ujar Mohd. Jamil.

Katanya, selepas kejadian tersebut suspek yang berbaju putih dan berseluar hitam telah melarikan diri melalui tangga rumah pangsa terbabit.

Katanya lagi, selepas mengadakan pemeriksaan polis telah menemui pisau yang digunakan oleh suspek di tingkat bawah manakala sarung pisau itu ditemui di kawasan kaki lima di tingkat dua rumah pangsa tersebut.

Berita Berkaitan

Jika Saya Menang, Anwar Mungkin Hilang Kerusi PD – Mohd Khairul

Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri sekali pun, tempohnya tidak lama kerana...

Istana Negara sahkan majlis menghadap Anwar ditangguh

Istana Negara mengesahkan majlis menghadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim...

Komen

..

Drama pemilihan Ketua Menteri Sabah belum tamat, Zahid bertegas

KOTA KINABALU – Konflik pemilihan Ketua Menteri Besar Sabah masih belum terjawab meskipun pimpinan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) telah mengadap Yang Dipertua Negeri Tun,...

#PRNSabah: Perjanjian Malaysia MA63 mendapat perhatian penuh Najib Razak

Perjanjian Malaysia MA63 hanya mendapat perhatian penuh kerajaan BN dahulu semasa saya PM. Di zaman sebelum itu, Tun Mahathir akan penjarakan sesiapa yang membangkitkan isu...

Arkib / Carian

993PeminatSuka
4,100PengikutMengikut
3,346PengikutMengikut
11,000PelangganLanggan