31.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 20, 2021

Ilmu, Peribadi Baik Perisai Hadapi Cabaran Imperialisme Moden – Dr M

TANJUNG MALIM, 21 Sept  — Malaysia akan mampu menangani cabaran imperialisme bentuk baru jika rakyatnya dapat menguasai ilmu pengetahuan dan mempunyai peribadi diri yang baik, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata dengan ilmu yang mencukupi, negara akan dapat ditadbir dengan lebih baik oleh rakyat berdasarkan acuan sendiri, tanpa perlu tunduk kepada pengaruh asing, yang merupakan sebahagian daripada bentuk imperialisme.

“Satu cabaran penting bagi kita ialah ilmu. Jika ada ilmu yang cukup kita akan dapat tentukan negara boleh dibangunkan dengan usaha kita sendiri,” katanya ketika menyampaikan syarahan perdana Za’ba bertajuk “Mampukah Malaysia Menghadapi Cabaran Imperialisme Bentuk Baru”, di Universiti Pendidikan Sultan Idris, di sini Rabu.

Dr Mahathir berkata kuasa-kuasa barat merupakan pelaksana imperialisme yang sebenarnya yang mana bagi mereka imperialisme ialah untuk menakluk dan mentadbir negara lain sehingga negara itu hilang kuasa.

“Tetapi itu imperialisme cara lama. Sekarang, walaupun bukan secara langsung tetapi imperialisme itu masih wujud dan menguasai masyarakat dalam pelbagai bentuk sama ada politik, ekonomi mahupun sosial serta mempengaruhi akal fikiran seseorang,” katanya.

Dr Mahathir berkata sebagai contoh, banyak negara masih tertakluk kepada imperialisme barat apabila masih menerima pakai konsep-konsep dan ideologi barat seperti kapitalisme, demokrasi dan sosialisme.

Katanya selain menerusi konsep dan ideologi, barat juga cuba untuk menguasai dunia dengan menerapkan nilai hidup mereka ke dalam masyarakat lain menerusi pelbagai medium termasuk media seperti televisyen, akhbar, majalah dan internet.

“Pemikiran mereka diserap tanpa kita sedar atau tidak dan mempengaruhi pemikiran kita,” katanya.

Risau jika pengaruh barat itu terus berkembang sehingga memusnahkan nilai moral dan peribadi masyarakat Malaysia, Dr Mahathir berpendapat faktor pembentukan peribadi dan sahsiah perlu diberi penekanan yang lebih di dalam kokurikulum sekolah.

“Harus ditentukan kokurikulum yang sesuai untuk memastikan nilai-nilai mulia ini dapat dibentuk. Sekarang aspek itu memang ada dalam pelajaran agama ataupun moral, tetapi pelajaran agama misalnya lebih menekankan kepada ibadah tertentu dan bukannya nilai-nilai hidup.

“Jika ada penekanan terhadap nilai-nilai hidup mulia, hari ini kita tidak akan melihat banyak perkara yang tidak diingini berlaku dalam negara seperti rasuah dan jenayah,” katanya.

Beliau berkata selain ibu bapa, guru memainkan peranan penting untuk menyemai nilai mulia bagi melahirkan generasi yang mampu menangani cabaran imperialisme moden.

Selain itu, Dr Mahathir turut menekankan kepentingan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang sains sebagai tiket untuk mencapai kemajuan di zaman ini.

“Untuk mempertahankan diri daripada serangan imperialisme kita perlu menguasai ilmu sains, bukannya menidakkan ilmu lain atau ilmu agama tetapi sains memberi kekuatan kepada kita untuk menghadapi cabaran imperialisme baru,” katanya.

Pada masa sama beliau turut mengulangi kepentingan untuk menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu memandangkan kebanyakan penemuan dan kertas kerja kajian, khususnya dalam ilmu sains dan matematik dibuat dalam bahasa Inggeris.

Mengulas lanjut isu itu pada sidang media kemudiannya, Dr Mahathir berkata menguasai bahasa Inggeris tidak bermakna kurangnya sifat nasionalisme, malah katanya seorang nasionalis sebenar pastinya mahu melihat Malaysia setanding negara lain.

Terdahulu Dr Mahathir menerima penganugerahan Tokoh Za’ba yang merupakan penganugerahan tertinggi yang diberikan oleh Institut Peradaban Melayu (IPM) UPSI, atas pencapaian dan sumbangan kepada orang Melayu dalam bidang pendidikan, sosial, ekonomi dan bahasa.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.