Friday - July 30, 2021 @ 17:23
BERITANASIONAL'Imam Mahadi' dan wanita yang mengamuk di JPM dihantar pasangan masing-masing

‘Imam Mahadi’ dan wanita yang mengamuk di JPM dihantar pasangan masing-masing

Seorang lelaki dan seorang wanita ada hubungan rapat dengan Khalil Afandi Abd Hamid serta Muhdalina Ahmad, dipercayai individu yang menghantar pasangan itu ke Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, Isnin lalu.

Mereka dipercayai menghantar Khalil Afandi, 47, dan Muhdalina, 28, dengan sebuah kereta Proton Gen 2, warna emas, milik wanita terbabit dan kemudian mereka diarahkan pulang oleh Khalil sebelum berlaku kejadian amuk, kira-kira jam 2.30 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, polis mengambil keterangan isteri Khalil Afandi dan suami Muhdalina bagi membantu siasatan.

“Saya sahkan percakapan pasangan itu sudah direkodkan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Difahamkan, kedua-dua mereka dibebaskan selepas keterangan mereka dirakamkan, kelmarin.

Abdul Razak berkata, selain isteri Khalid dan suami Muhdalina, tiga lagi individu telah memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan kes amuk tersebut.

Menurut Abdul Razak, seorang daripadanya adalah penulis blog.

“Kita siasat segala kemungkinan terhadap semua individu yang dipercayai mempunyai maklumat bagi membantu siasatan.

“Setakat ini, hanya lima individu sudah dirakamkan percakapan,” katanya.

Abdul Razak bagaimanapun enggan mengia atau mengesahkan sama ada penulis blog yang terbabit dengan siasatan kes itu adalah aktivis media maya yang terawal memuat naik laporan dan visual kejadian itu ke Youtube.

Dalam kejadian Isnin lalu, Khalil Afandi dan Muhdalina, yang bersenjatakan pedang samurai, mengamuk di pekarangan JPM.

Khalil Afandi juga mendakwa diri sebagai imam Mahadi dan melaungkan ‘Allahuakbar’ ketika kejadian amuk tersebut.

Polis terpaksa melepaskan tembakan di  mana Khalil Afandi cedera di lengan kiri dan bahagian ari-ari, manakala Muhdalina ditembak di paha kanan.

Khalil Afandi bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya sementara Muhdalina dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di hospital sama.

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here