KUANTAN, 11 Mei — Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) hari ini berpandangan bahawa isu projek nadir bumi itu perlu ditangani secara saintifik.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu perlu kerana persoalan yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang membangkitkan mengenai kewibawaan dan keselamatan projek berkenaan bersifat saintifik dan teknikal.
“Jawatankuasa akan menyarankan agar semua pandangan yang telah dikemukakan kepada jawatankuasa ini akan dinilai dari segi kredibiliti saintifiknya dan usaha akan dilakukan untuk mendapatkan ‘scientific experts’ bagi memberikan pandangan yang bebas terhadap isu-isu yang dikemukakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pendengaran awam mengenai projek Lynas bersama PSC di kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini Jumaat.
Sesi itu turut disertai tujuh kumpulan orang awam dan enam anggota PSC lain termasuk Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin dan Anggota Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahalan.